Perkongsian Asatizah: 'UJUB(Siri 21)


Siri:21

KEWARAKAN & AMAL IBADAH

Sebab Takbur Terakhir & Obatnya

Amal ibadah dan kewarakan boleh menjadi suatu MUSIBAH YANG AMAT BESAR ke atas orang yang beribadah dan orang yang warak, apabila ia menjadi sebab mereka bersifat takbur meninggi diri! Maka penawarnya ialah LAZIMKAN TAWĀDHU' KEPADA SEKALIAN HAMBA ALLAH! Tidak kiralah samada terhadap ORANG 'ALIM YANG JAHAT, atau ORANG JAHIL YANG TERSEMBUNYI JAHATNYA, ataupun ORANG JAHIL YANG NYATA KEJAHATANNYA! Rendahkanlah dirimu wahai ahli ibadah dan orang warak, kepada mereka semua!

KETAHUILAH! Bahawa sesungguhnya, tidak patut seseorang ahli ibadah takbur terhadap ahli ilmu, walau bagaimana sekalipun keadaan mereka, samada baik atau sebaliknya. Kerana telah maklum, bahawasanya FADHILAT ILMU & AHLI ILMU, MENGATASI FADHILAT AHLI IBADAH!
Maka seandainya seorang ahli ibadah berkata, "Kelebihan itu adalah bagi orang 'alim yang beramal dengan ilmunya, sedangkan si polan itu, orang 'alim yang jahat!"

Maka katakanlah kepadanya, "Tidakkah engkau tahu bahawa sesungguhnya KEBAIKAN BOLEH MENGHILANGKAN KEJAHATAN? Dan sesungguhnya, sebagaimana ilmu itu boleh jadi hujah dakwaan ke atasnya di akhirat nanti, sebegitu jualah ilmu itu boleh jadi pengkafarah dosa-dosanya ketika di dunia ini.

Setiap satu daripada kebarangkalian tersebut, adalah MUNGKIN, bukannya mustahil! Dan sesungguhnya telah datang riwayat hadith Baginda SAW, yang menjadi saksi tentang kemungkinan tersebut. Maka tatkala engkau tidak mengetahui mana satu kebarangkalian yang akan berlaku ke atas orang 'alim yang jahat itu, maka TIDAK HARUS bagi engkau MEMANDANG HINA terhadapnya, bahkan engkau WAJIB TAWĀDHU' kepadanya!"

Dan seandainya timbul persoalan lantaran sabdaan Baginda SAW, "Kelebihan orang 'alim mengatasi ahli ibadah, adalah seperti kelebihanku mengatasi lelaki yang terendah kedudukannya dari kalangan para sahabatku", ADAKAH BOLEH bagi seseorang yang 'alim itu, memandang dirinya mengatasi ahli ibadah?"

Maka jawapannya, BOLEH... KALAU si 'alim itu TAHU tentang keadaan akhir hayat dirinya! Akan tetapi, tak siapa pun mengetahui keadaan kesudahan hidupnya, husnul khatimah kah, atau su-ul khatimah? Na'uzubiLlāh! Boleh jadi si 'alim itu berkesudahan lebih teruk daripada kesudahan hidup si jahil yang jahat! Akibat satu dosanya yang dia pandang kecil & lekeh, sedangkan di sisi Allah dosa itu dipandang besar & hina, lantas menyebabkan Allah murka padanya!

Fikiran sedemikian mencetuskan PERASAAN TAKUT! Kalaulah si ahli ibadah dan si 'alim dikelubungi ketakutan, nescaya masing-masing akan menitikberatkan tentang keadaan diri masing-masing. Masing-masing akan TAKUT suu-ul khatimah, bersulam HARAP husnul khatimah, maka tertegahlah daripada bersifat takbur.

Inilah penawar takbur bagi ahli ibadah yang takbur terhadap orang 'ālim yang jahat! Adapun takbur terhadap selain orang 'alim, kok panjang umor, in sya Allah Atok sambung lagi.


Comments

Popular posts from this blog

PERANAN IBU BAPA DAN ANAK MENURUT ISLAM

SEJARAH RINGKAS AISYA HUMAIRA

Dr. Ayman al-Akiti