Perkongsian Asatizah: 'UJUB(Siri 11)
Siri:11
UBAT KHUSUS 'UJUB #6
AlhamduLillah, setakat ini, Atok dah nyatakan LIMA SEBAB
KHUSUS PENYAKIT 'UJUB. In sya Allah, TIGA SEBAB lagi menyusul bicaranya. Namun
ketahuilah, walaupun sebab penyakit berbeza-beza, namun PENYAKITNYA SATU
SAHAJA, iaitu 'UJUB, yakni perasaan KAGUM & BANGGA dengan nikmat, serta
TIDAK TAKUT kehilangan nikmat tersebut, dan LUPA menyandarkan nikmat kepada
PEMBERI NIKMAT!
Antara anugerah nikmat Allah terhadap hambanya, berupa
RAMAINYA BILANGAN ANAK-PINAK, KHADAM & BUDAK SURUHAN, SANAK SAUDARA, KAUM
KERABAT, PENYOKONG & PENGIKUT. Akibat KAGUM, TAK TAKUT HILANG, dan LUPA PEMBERI
NIKMAT, maka jadilah nikmat RAMAI tersebut sebagai SEBAB KHUSUS KE-ENAM
penyakit 'ujub.
Allah 'Azza wa Jalla, sesungguhnya berfirman menghikayatkan
beberapa kisah 'ujub disebabkan RAMAI BILANGAN TERSEBUT, pada beberapa ayat di
dalam Al-Quran. Antaranya, Surah As-Saba, Petikan Ayat:35, ertinya; "Dan
mereka (yakni orang-orang yang mengingkari Nabi sebagai utusan Tuhan) berkata,
"Kami lebih banyak harta benda dan anak pinak, dan kami pula tidak akan
diseksa!".
Dalam lipatan Sirah Nabawiyyah, tercatit suatu peristiwa
bersejarah, yang benar-benar memberi pengajaran khusus buat orang yang beriman.
Kisah yang Atok maksudkan itu ialah tentang PEPERANGAN HUNAIN! Akibat RAMAINYA
BALA TENTERA MUKMIN, dihikayatkan jumlah mereka seramai 12,000 orang, ada di
kalangan mereka dengan megahnya berkata, "Kita tidak akan kalah hari ini,
sebab KITA RAMAI!". tapi sudahnya RAMAI ITULAH yang LARI DARI MEDAN
PERANG!
Peristiwa 'ujub ini Allah Subhanahu wa Ta'āla rakamkan dalam
Surah At-Taubah, Ayat:25, ertinya; "Sesungguhnya Allah telah MENOLONG
kalian mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang, dan di medan perang
Hunain, iaitu semasa kalian merasa MEGAH dengan sebab BILANGAN kalian yang
RAMAI, maka bilangan yang ramai itu TIDAK MEMBERI FAEDAH kepada kalian sedikitpun,
dan (semasa kalian merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kalian;
kemudian kalian berpaling undur melarikan diri!"
Maka UBAT KHUSUS bagi mengatasi sebab ke-6 ini ialah,
BERFIKIR TENTANG KEDHAIFAN DIRI SENDIRI, DAN JUGA KEDHAIFAN BILANGAN YANG RAMAI
ITU!
Sesungguhnya KITA dan MEREKA, hanyalah HAMBA YANG LEMAH!
Kita jua mereka tidak berupaya memberi mudharat atau manfaat! Kita jua mereka
tidak memiiki apa pun hatta diri sendiri! Bahkan kita semua adalah DI BAWAH
PENGUASAAN ALLAH SEPENUHNYA!
Tidakkah pengikut boleh lari, peminat boleh berubah hati,
penggemar berubah menjadi pembenci? Tergamakkah kita bermegah dengan diri kita
dan mereka, sedangkan nanti semuanya akan MATI? Dan bila kita sudah mati, tiada
seorangpun daripada mereka yang sanggup bersama kita di dalam kubur! Hanya IMAN
& AMALAN SOLEH LAH yang menjadi TEMAN SETIA.
Maka tergamakkah kita 'ujub kepada mereka yang tidak punya
apa-apa, sedangkan kita LUPA kepada TUHAN YANG MAHA MENGHIDUPKAN, MEMATIKAN,
MEMBERI MANFAAT, DAN MENIMPA MUDHARAT?
Comments
Post a Comment