Perkongsian Asatizah: 'UJUB(Siri 14)


Siri:14

(Ubat Khusus)

TAKBUR SEBAB KETURUNAN

Sesungguhnya KESEMPURNAAN HAKIKI adalah kesempurnaan yang tidak binasa selepas mati! Manakala segala kesempurnaan yang binasa selepas kematian, hanyalah KESEMPURNAAN WAHMI, yakni disangka sempurna, tapi sebenarnya tak sempurna!

Sesungguhnya ILMU & AMAL, adalah kesempurnaan yang HAKIKI, manakala KETURUNAN MULIA, KECANTIKAN PARAS RUPA, KEKUATAN & KEKUASAAN FIZIKAL, KEKAYAAN HARTA BENDA, PENGARUH & PENGIKUT YANG RAMAI, semuanya hanyalah kesempurnaan WAHMI.

Dan sesungguhnya samada HAKIKI mahupun WAHMI, dengan kata lain, samada 'benar-benar sempurna' atau 'perasan sempurna', kedua-duanya berpotensi menyebabkan manusia 'ujub dan takbur! Maka bagi setiap sebab tersebut, ada UBAT KHAS untuk merawatnya.

Maka takbur yang disebabkan oleh BERKETURUNAN MULIA, seperti berketurunan Para Nabi AS, Para Wali, Alim Ulama, Bangsawan, Pemimpin Masyarakat, maka ubatnya, hendaklah pentakbur tersebut mengetahui tentang DUA PERKARA:

PERTAMA, Sesungguhnya takburnya itu adalah suatu KEJAHILAN, jika dilihat dari perspektif KEBANGGAANYA dengan KEMULIAN ORANG LAIN. Bak kata pepatah Arab, "Andai dikau bermegah dengan bapa dan datukmu yang mulia, sungguh dikau benar, tapi buruk sungguh apa yang telah mereka lahirkan!"

Pentakbur keturunan, seandainya pada dirinya tiada kemuliaan hakiki seperti ilmu & amal soleh, bagaimana bisa kemulian bapa, datuk, moyang mereka dapat menampung kekurangan tersebut? Bahkan, andai mereka masih hidup, nescaya mereka akan berkata kepadanya, "Kelebihanku itu adalah kemuliaan bagi diriku, ENGKAU SIAPA? Engkau hanyalah ULAT yang diciptakan daripada AIR MANIKU! Apakah engkau menyangka, bahawa ulat yang dicipta daripada mani manusia, lebih mulia daripada ulat yang dijadikan daripada mani kuda?! Jauh sekali sangkaanmu! Bahkan kedua-duanya sama! Kemuliaan bukanlah terletak pada ulat mani, tetapi pada ilmu dan amalan insani!"

KEDUA, mengetahui tentang ASAL KETURUNAN SEBENAR. Ketahuilah, bahawa bapa kita berasal daripada AIR MANI YANG DILUATI, manakala moyang kita pula, berasal daripada TANAH YANG DIPANDANG HINA! Firman Allah Ta'ālā, ertinya, " (Tuhan) Yang mengelokkan ciptaan tiap-tiap sesuatu, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal daripada tanah. Kemudian Dia menjadikan keturunan manusia itu daripada pati air yang dipandang hina." (Surah As-Sajdah: 7-10).

Maka, barangsiapa yang asalnya TANAH YANG DIPANDANG HINA, yang DIPIJAK-PIJAK oleh segala macam tapak kaki, kemudian DIUBAH menjadi TANAH GELAP YANG BERBAU BUSUK, bagaimana boleh bersifat takbur. Sedarlah wahai pentakbur keturunan! Hakikat sebenar ketakburanmu itu, adalah LEBIH HINA DARIPADA TANAH RENDAH! LEBIH BUSUK DARIPADA TANAH HITAM! LEBIH KOTOR DARIPADA SEPOTONG DAGING!

Maka Insaflah! Tawādhu'lah! Tuntutlah ilmu dan amal soleh, agar dikau beroleh kemuliaan hakiki dari Tuhan, bukan kemulian wahmi di disi insan.

Comments

Popular posts from this blog

PERANAN IBU BAPA DAN ANAK MENURUT ISLAM

SEJARAH RINGKAS AISYA HUMAIRA

Dr. Ayman al-Akiti