PERANAN IBU BAPA DAN ANAK MENURUT ISLAM

[PERSATUAN MAHASISWA HADHARI 21/22]

[EXCO PENERANGAN DAN INFORMASI]

 

20 Zulkaedah 1442H | 1 Julai 2021

 

[ PERANAN IBU BAPA DAN ANAK MENURUT ISLAM ]












 Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerana penularan pandemik COVID-19 ini, timbul pelbagai isu kekeluargaan seperti perselisihan faham antara ibu bapa dan anak atau kegagalan seorang ibu bapa menjaga anak seperti pengabaian tanggungjawab, isu hawa nafsu songsang dan sebagainya dalam komuniti masyarakat Islam. Pelbagai pihak termasuk pihak liberal dan anti-Islam turut berbalah menuding jari siapakah yang patut dipersalahkan. Institusi badan agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Lembaga Zakat Negeri turut menerima tempias dan seringkali di tag oleh warga maya untuk tampil memberi penjelasan dan menjalankan tanggungjawab sewajarnya.

 

 Permasalahan-permasalahan seperti ini wujud kerana masyarakat Islam tidak dinafikan kurangnya memahami tanggungjawab masing-masing sebagai seorang anak dan ibu bapa dan hak orang lain selain tanggungjawab individu dalam konteks beragama sejati. Isu perkahwinan seperti berkahwin muda atau lambat dan tanggungjawab suami isteri selalu diberikan perhatian oleh masyarakat. Namun tidak ramai memandang pentingnya kepentingan dan tanggungjawab ibu bapa dan anak selepas perkahwinan berlaku.

 

Islam telah meletakkan kedudukan ibu bapa sebagai salah satu kedudukan terpuji selepas Allah SWT dan Rasulullah SAW

Firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

 

                                                                                                                   

   (Al-Quran Surah Al-Isra’ ayat 23)

 

 Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

 

 Syeikh al-Maraghi berkata, Allah SWT benar-benar mewasiatkan tentang tanggungjawab terhadap kedua-dua ibubapa secara serius, sehingga sesiapa sahaja yang derhaka terhadap mereka akan meremang bulu romanya serta ngeri mendengarnya. Ini disebabkan wasiat itu dimuliakan oleh Allah SWT dengan perintah supaya manusia bertauhid dan beribadah kepada-Nya. Kemudian kewajipan tersebut digenapkan dengan kewajipan supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa. [Lihat: Tafsir al-Maraghi, 8/3932]

 

 Ibu bapa juga diberikan tanggungjawab yang penting untuk menjaga anak-anak daripada masih dalam kandungan dan selepas anak-anak dilahirkan.  Anak-anak merupakan amanah serta ujian untuk mereka bergelar ibu bapa dalam mengejar jalan ke syurga dan rahmat Allah SWT.

 

“ Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.”             

                                                                                             

 ( Al-Quran Surah Al-Anfaal’ Ayat 27-28)

 

 Ibu bapa perlu bertanggungjawab dengan memainkan peranan aktif dalam mendidik anak-anak mereka untuk dengan ajaran Islam yang sejati seperti melaksanakan ibadah wajib dan berbuat amal baik menepati perintah Allah SWT dan saranan Rasulullah SAW. Seorang bapa wajib memerintahkan anaknya agar mendirikan solat. Ini dapat dipelajari melalui firman Allah yang menyebutkan:

 

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا

 

“Dan perintahkanlah (wahai Muhammad) ahli keluargamu supaya menunaikan solat, dan hendaklah kamu bersabar atasnya (atas urusan ini).”            

                                                                                                                                                (Surah Taha: 132)

 

 Ibu bapa tidak seharusnya mengabaikan pengajian ilmu agama dalam membesarkan anak-anak mereka hanya untuk memuaskan dan mengejar kehendak duniawi yang sentiasa berubah ragam. Jadikanlah Rasulullah SAW dalam mendidik anak-anak baginda sebagai salah satu teladan dalam mendidik anak-anak menjadi muslim sejati.  Akibat kecuaian melakukan tanggungjawab sebagai ibu bapa, masyarakat hari ini menerima kesan apabila isu-isu generasi muda makin liar bahkan terpesong dengan anasir-anasir bukan Islam sejati seperti LBGT+ semakin dinormalisasikan. Isu-isu kekeluargaan seperti hubungan seks songsang antara ibu bapa dan anak atau adik beradik melalui jenayah rogol juga semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat Islam hasil kegagalan ibu bapa mendalami dan mendidik anak-anak dalam acuan Islam yang sepatutnya. Hal ini tidak sepatutnya belaku kerana agama Islam sudah menjaga semua aspek manusia dan masyarakat dengan sempurna. Seharusnya penganut agama iaitu kita perlu mengangkat nilai-nilai agama pada darjat yang tinggi walaupun apa jua cabaran-cabaran menghalang.  

 

 Seterusnya,  anak-anak perlu menghormati dan berbuat baik terhadap ibu bapa walaupun ibu bapa mereka mempunyai kekurangan berbanding ibu bapa orang lain. Anak-anak perlu berusaha menjadi anak yang baik dengan menjaga hak-hak ibu bapa sebagai ibu dan bapa seperti sentiasa melayani mereka dengan baik, menghulurkan bantuan sewajarnya dan menjaga maruah ibu bapa semasa mereka masih hidup dan selepas mati pun.

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

 

                                                                                                                                           (Al-Quran al-Isra’:23)

 

 Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah kamu berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah kamu menengking (menyergah) mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Amatlah rugi jika anak-anak tidak memanfaatkan peluang yang berbakti  kepada ibu bapa sedangkan Allah SWT telah mengurniakan waktu sebaik-baiknya.  Terutama di ambang pandemik ini, janganlah terlalu meletakkan emosi dan hak sebagai anak sahaja tapi mengetepikan hak ibu bapa tanpa sengaja. Anak-anak perlulah hargai usaha keras ibu bapa dalam melindungi dan menjaga mereka daripada ancaman. Biarpun ada kekangan, cubalah atasi kekangan untuk merebut peluang berbakti kepada ibu bapa.

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ.‏ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: ‏‏مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ ‏‏

 

Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.”

                                                                                                                                      [Riwayat Muslim (2551)]

 

 Ibu bapa dan anak-anak perlu saling berganding bahu dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai seorang muslim yang baik. Jika peranan ibu bapa dan anak tidak ditunaikan, permasalahan berkait kekeluargaan akan memberi kesan negatif kepada masyarakat dan negara.  Janganlah biarkan sudah terlanjur melakukan kesilapan dalam mendidik anak baru atau melaksanakan tanggungjawab sebagai anak baru hendak menyesal.  Dan janganlah kita terlalu menuding jari terhadap kepada pihak lain tanpa memperbaiki diri agar tidak melakukan kesilapan. Ikutilah model keperibadian Nabi Muhammad S.A.W , para anbiya serta tokoh-tokoh Islam dalam menjadi seorang ibu bapa dan anak yang baik.

 

“AGENT OF CHANGE TOWARDS PROFESSIONAL RABBANI’

 

Disediakan oleh:

 

[NUR ZULIANA BINTI ZAINAL ALAM]

 

SEKRETARIAT,

EXCO PENERANGAN DAN INFORMASI 21/22

PERSATUAN MAHASISWA HADHARI(PMH)

 

#ExcoPeneranganDanInformasi

#PersatuanMahasiswaHadhari2122

 

RUJUKAN

https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/3212-irsyad-al-hadith-siri-ke-356-tanggungjawab-anak-terhadap-ibubapa

BLOG USTAZ ASRI: Peranan Ibu Bapa Dalam Mendidik Anak-Anak (ust-asrimdsaman.blogspot.com)


Comments

Popular posts from this blog

SEJARAH RINGKAS AISYA HUMAIRA

Dr. Ayman al-Akiti