Sebarkan Sayapmu Duhai Pemuda...
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh..
Aduhhhh, sudah lama rupanya aku hidupppp..
Subhanallah, hebatnya kuasa pemuda, dengan syarat beriman dan bertakwa kepada Allah, pemuda mampu menggoncang dunia !
Jadi sahabat-sahabat, di saat kita sedang menikmati usia pemuda ini, apakah sumbangan dan kejayaan yang telah dan bakal kita capai ?
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita rafakkan ke hadrat Ilahi kerana pada hari ini kita masih dihidupkan oleh Allah Taala dan dibekali dengan dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat Iman dan nikmat Islam. Selawat dan salam kita hadiahkan buat kekasih junjungan kita iaitu Nabi Muhammad s.a.w yang telah bersusah payah menyampaikan risalah Islam kepada kita sehingga pada hari ini kita berupaya untuk menikmati indahnya kehidupan bersyariat, jauh daripada kemurkaan Allah dan terhindar daripda azab api neraka.
Sahabat-sahabat, untuk entri kali ini, suka untuk saya mengajak kalian meneroka kembali perjalanan hidup kita selama ini. mungkin ada di antara kita yang telah menghirup udara di muka bumi ini selama 20 tahun, 21, 22 bahkan mungkin ada juga di antara pembaca sekalian yang telah melangkaui usia 25 tahun ke atas, benar bukan ?
Sedar atau tidak sedar, kita sebenarnya sedang melangkah ke dalam suatu fasa kehidupan yang sangat penting. Sahabat-sahabat, pada usia pemuda inilah, tenaga kita sangat diperlukan untuk membina ummah yang bukan sahaja cemerlang di dunia, bahkan juga gemilang di akhirat. Saidina Ali misalnya, pada usia yang sangat muda beliau telah memainkan peranan yang sangat penting sewaktu awal penghijrahan baginda Rasulullah s.a.w , iaitu tatkala beliau dengan rela hatinya mempertaruhkan nyawa beliau untuk menggantikan Rasulullah di tempat tidur baginda. Kesanggupan Saidina Ali mengambil langkah sedemikian membuktikan keluhuran hati dan kematangan beliau di usia yang sangat muda untuk membantu baginda Rasulullah dalam peristiwa hijrah. Bahkan, pada usia pemuda jugalah, sahabat- sahabat baginda Rasulullah kesemuanya menghabiskan usia muda mereka bersama-sama Rasulullah menyebarkan dakwah Islam suatu ketika dahulu.
Antara lain contoh yang menunjukkan kepada kita bahawa usia pemuda adalah usia emas adalah tokoh pembuka kota Konstantinople yang terlakar namanya dalam lipatan sejarah iaitu Sultan Muhammad Al Fateh. Tatkala baginda berusia seawal 19 tahun, baginda Sultan Muhammad telah diberi kepercayaan untuk menggantikan ayahandanya Sultan Murad untuk meneruskan pentadbiran negara. Kemudian, pada usia yang sangat muda iaitu seawal usia 21 tahun baginda telah memimpin pasukan baginda membebaskan kota Konstantinople daripada cengkaman kerajaan Byzantine. Dengan izin Allah Taala, baginda berjaya menawan kota tersebut, sekaligus menjadi pemuda yang dimaksudkan oleh Rasulullah dalam satu sabda baginda iaitu ;
Constantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam, rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera... ( Hadis riwayat Imam Ahmad )
Subhanallah, hebatnya kuasa pemuda, dengan syarat beriman dan bertakwa kepada Allah, pemuda mampu menggoncang dunia !
Jadi sahabat-sahabat, di saat kita sedang menikmati usia pemuda ini, apakah sumbangan dan kejayaan yang telah dan bakal kita capai ?
Masihkah kita mahu bersenang lenang di usia pemuda ini dan memanjakan diri dengan kemewahan dan kesenangan, sedangkan di hadapan mata kita terhampar lambakan tanggungjawab dan amanah yang seharusnya dipikul dengan baik ?
Tepuk dada tanya iman...
Ayuhlah kita sama-sama merenungi sejauh manakah kita memanfaatkan usia pemuda ini..adakah kita mahu menghabiskan usia muda ini dengan berseronok dan berfoya-foya demi memenuhi tuntutan hawa nafsu, ataupun sebaliknya kita mendidik diri menjadi hamba yang muttaqeen, dan menjadi pemuda yang disebut-sebut sebagai rijal dakwah, iaitu pemuda yang sanggup bersusah payah menggalas beban dakwah demi meneruskan tugas penyampai risalah kebenaran iaitu baginda Rasulullah s.a.w. Duhai pemuda, usahlah terlalu leka diulit kemewahan dan usahlah terlalu memanjakan diri dengan gebar kesenangan !
Setakat ini sahaja entri untuk kali ini. Semoga kita sama-sama mendapat perkongsian daripada entri yang ringkas kali ini. teruskan menyokong dan bersama-sama kami Persatuan Mahasiswa Hadhari !
Comments
Post a Comment