MAHASISWA, AMBISI DAN AGAMA



Alhamdulillah, terima kasih buat pembaca-pembaca yang meluangkan masa untuk melawat laman sosial kami dan membaca perkongsian-perkongsian ilmiah yang kami sajikan buat para pembaca.

Mahasiswa selalu dikaitkan dengan aset negara dan membawa harapan kemajuan negara, mengapakah dianggap sedemikian? Hal ini demikian kerana mahasiswa merupakan juzu’(bahagian) daripada golongan intelektual. Intelektual ialah pemikir tentang sesuatu gagasan dan berupaya mencari penyelesaiannya. Selain itu, mereka juga merupakan pendukung atau penentang sesuatu ideologi budaya dan pembawaan masyarakat, serta melihat perkara dalam perspektif yang berbeza. Mahasiswa pula bermaksud  penuntut (pelajar) di universiti. Namun jika diteliti secara harfiah, sebenarnya perkataan mahasiswa terdiri daripada dua suku kata. 'Maha' yang membawa maksud besar dan berkuasa, dan 'siswa' yang merujuk kepada sekelompok pelajar atau penuntut di institusi pengajian tinggi.

Mahasiswa merupakan golongan yang perlu melibatkan diri secara progresif dalam pembudayaan ilmu. Jika dilihat, mahasiswa berfungsi sebagai pembangkit idea kepada pembangunan masyarakat dan pemerintahan negara. Mahasiswa hendaklah mempunyai persepsi yang dualisme, iaitu betul atau salah, pandangan yang berbeza dan komprehensif, interpretasi dan justifikasi yang rasional.
Setiap mahasiswa memiliki ambisi serta wawasan tersendiri, sememangnya ia bukannya satu kesalahan malah amat diutamakan dalam diri mahasiswa untuk jaminan masa hadapan mereka. Persoalannya, adakah ambisi kita mencapai kesempurnaan secukupnya? Jawapannya, ambisi perlu diposisikan sebagai wadah untuk keperluan agama. Agama Islam tidak pernah menghalang manusia memiliki kerjaya serta mempelajari ilmu selain fardu ain kerana hakikat pada nihayahnya(penghujung) ialah membawa kepada mengenal Tuhan(Allah).

Sepertimana disebutkan dalam sesetengah kalam;

من عرف نفسه فقد عرف ربه
Barang siapa yang mengenal dirinya, sungguh ia telah mengenal Tuhannya

Maksudnya, barangsiapa yang mengetahui sifat dirinya yang selalu diliputi oleh kelemahan dan ketergantungan kepada Allah SWT, niscaya ia akan kenal dengan kemahaberkuasaan, kemuliaan, serta keagungan Allah SWT. Kadang-kadang kita tidak dapat mengenal kelemahan serta kerbergantungan kepada Allah SWT melalui majlis ilmu, tapi dapat dikenal pasti sewaktu kita berada dalam universiti atau aktiviti seharian. Sebagai contoh, dalam usaha memeras keringat serta berhempas pulas mengejar keputusan cemerlang sehingga beroleh Anugerah Naib Canselor, sudah tentu kita diuji dengan segala nikmat dan ujian daripada Allah Taala. Pada waktu itulah terhasilnya bibit-bibit Makrifatullah  melalui kebergantungan mahasiswa kepada Allah. Inilah dipanggil kesempurnal ambisi atau cita-cita.

Pada pendapat saya, slogan Usaha Takwa Mulia merupakan slogan terbaik buat mahasiswa bukan sahaja sebagai pencetus kepada himmah(dorongan kuat atau keinginan) dalam belajar malah dijadikan tanbih(peringatan) buat mahasiswa tentang Makrifatullah.

Oleh itu, saya menyeru mahasiswa untuk tidak putus asa mengejar ilmu fardu ain dan fardu kifayah(yang ada dalam universiti), belajar sehingga kita mampu beramal serta dapat tasdiq(membenarkan) serta azam dalam hati sebaik-baik pemilik ilmu adalah Allah semata-mata.

Berkhidmat Untuk Mahasiswa
AHMAD MUSTAFFA BIN ZAKARIA
PRESIDEN
PERSATUAN MAHASISWA HADHARI 19/20
UiTM SHAH ALAM

Comments

Popular posts from this blog

PERANAN IBU BAPA DAN ANAK MENURUT ISLAM

SEJARAH RINGKAS AISYA HUMAIRA

AS MEMILIH: TRUMP VS BIDEN