ASAL-USUL BUBUR ASYURA' MASYARAKAT MELAYU



Bubur Asyura Kelantan

Rujukan: Ustaz Alyasak Berhan

Salah satu tradisi yang diadakan di kampung-kampung setiap kali menjelang bulan Muharram adalah membuat bubur Asyura'. Adapun mengenai tradisi ini, disebut di dalam kitab Risalah al-Musalsal al-Amiriyyah yang dicetak bersama-sama syarahannya;

“Begitu juga apa yang dilakukan oleh sebahagian daripada orang memasak bubur (pada hari Asyura') adalah merupakan suatu perkara bidaah. Asal-usulnya adalah bersandarkan kepada apa yang berlaku kepada Nabi Nuh alaihissalam tatkala baginda keluar dari kapal pada hari Asyura’. Orang-orang yang bersama baginda telah mengadu kelaparan. Lalu dikumpulkan saki baki bekalan mereka yang terdiri daripada pelbagai bijiran-bijiran seperti beras, kacang dal dan sebagainya. Setelah itu mereka pun memasak biji-bijiran tersebut di dalam periuk lalu mereka pun makan sehingga ia menyenyangkan mereka. Oleh itu, ia adalah merupakan makanan yang pertama dimasak di atas muka bumi selepas berlakunya taufan. Maka berdasarkan peristiwa ini, manusia telah menjadikan ianya sebagai suatu anjuran pada hari tersebut (Asyura’). Hal ini TIDAK MENGAPA dilakukan terutamanya perbuatan memberi makan kepada orang-orang fakir dan miskin adalah merupakan sebahagian tausi‘ah (meluaskan belanja) bagi mereka yang mampu dan tidak mampu. Maka perluaskankanlah akhlaknya bersama kaum kerabat dan keluarga serta maafkanlah orang-orang yang menzaliminya kerana terdapat athar berkaitan hal tersebut.”

Hal ini juga telah disebutkan di dalam Kitab Jam‘u al-Fawaid wa Jawahir al-Qalaid yang dikarang oleh al-‘Allamah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani:

“(Dan kata) Syeikh Ajhuri dan aku lihat bagi orang yang lain nasnya bahawasanya (Nabi) Nuh alaihissalam tatkala turunnya dari safinah (bahtera) dan orang yang sertanya mengadu kepadanya dengan lapar dan telah habis segala bekal mereka itu. Maka menyuruh akan mereka itu bahawa mendatangkan dengan barang yang lebih daripada bekal mereka itu. Maka mendatangkan ini dengan segenggam gandum, dan ini dengan kacang ‘adas dan ini dengan kacang ful (pol) dan ini dengan setapak tangan kacang himmasun (kacang kuda) hingga sampai tujuh biji-bijian bagi jenisnya dan adalah ia pada hari Asyura', maka mengucap Nabi Nuh alaihissalam dengan bismillah dan dimasakkan dia, maka sekaliannya dan kenyang mereka itu dengan berkat Sayyiduna Nuh alaihissalam. Firman Allah Taala:

 قِيلَ يَا نُوحُ اهْبِطْ بِسَلَامٍ مِنَّا وَبَرَكَاتٍ عَلَيْكَ وَعَلَىٰ أُمَمٍ مِمَّنْ مَعَكَ ۚ وَأُمَمٌ سَنُمَتِّعُهُمْ

"(Maksudnya) Dikatakan: Hai Nuh, turunlah olehmu dengan sejahtera daripada kami dan berkat atasmu dan atas umam (umat-umat) sertamu dan umam (umat-umat) yang kami sukakan mereka itu." (Surah Hud: 48)

(Dan) adalah demikian ini pertama-tama makanan yang dimasakkan di atas muka bumi kemudian daripada taufan. Maka mengambil segala manusia akan dia sunat pada hari Asyura' dan adalah padanya itu pahala yang amat besar bagi orang yang mengerjakan yang demikian itu dan memberi makan segala fuqara' (orang-orang yang fakir) dan masakin (orang-orang yang miskin), maka dinamakan bubur Asyura'. Dan jika bidaah sekalipun, (maka ia) bidaah hasanah dengan qasad itu."


Disebutkan oleh al-Sayyid al-Bakri, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Abdul Rahman al-Usfuri dan Syeikh Daud al-Fatani;

"Bahawasanya tatkala bahtera Nabi Nuh alaihissalam berlabuh di bukit Judi pada hari Asyura', maka berkatalah baginda kepada umatnya :
"Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih. Maka dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila' iaitu kacang ful dan satu genggam kacang Adas dan Ba'ruz dan tepung dan kacang Hinthah hingga menjadi tujuh jenis biji bijian yang dimasak"Maka berkata Nabi Nuh alaihissalam; "Masaklah sekaliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang."


Maka berdasarkan kisah inilah sebahagian kaum muslimin menjadikan makanan mereka itu daripada biji-bijian yang dinamakan BUBUR ASYURA' (bubur yang dimasak sempena hari kesepuluh dalam bulan Muharam). Itulah masakan yang pertama dimasak di atas permukaan bumi setelah berlakunya banjir besar dan taufan yang melanda bumi.


Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani bersyair dengan katanya;


في يوم عاشوراء سبع تهرس بر أرز ثم ماش عدس
وحمص ولوبيا والفول هذا هو الصحيح والمنقول

"Pada Hari Asyura' terdapat tujuh bijirin yang dimakan iaitu Gandum (tepung), Beras, kemudian Kacang Mash (kacang kuda) dan Kacang Adas (kacang dal).Dan Kacang Himmas (kacang putih) dan Kacang Lubia ( sejenis kacang panjang) dan kacang Ful. Inilah kata-kata yang sahih dan manqul (yang dinukil daripada kata-kata ulamak)."

Daripada apa yang dibahaskan di atas, maka difahami bahawa sejarah BUBUR ASYURA' ini diambil daripada peristiwa arahan dan perintah Nabi Nuh alaihissalam kepada umatnya suatu ketika dahulu.


Sungguhpun demikian, perkara ini bukanlah termasuk dalam hukum hakam yang ada nasakhnya dalam Syariat Islam. Ianya hanya sekadar kisah dan peristiwa yang perlu diambil iktibar dan dihayati oleh umat manusia dan seterusnya beriman dan menghampirkan diri kepada Allah Taala dengan sebenar-benar taqwa.


Andai arahan tadi merupakan suatu perintah, maka kita mengatakan ia merupakan al-Syar‘u Man Qablana iaitu perkara syariat yang berlaku pada zaman dan umat terdahulu yang tidak dinasakhkan untuk menjadikan iktibar dan panduan hidup berterusan umat akan datang. Maka BUBUR ASYURA' merupakan salah satu daripada perkara yang disebutkan sebagai al-Syar‘u Man Qablana yang boleh kita amalkan dalam kehidupan kita dan ia tidaklah di anggap sebagai suatu BIDAAH YANG TERCELA atau perkara yang bertentangan dengan kehendak syariat.


Tanggapan sebahagian orang yang mengatakan perkara ini BIDAAH YANG TERCELA dan hanya sekadar adat semata-mata adalah tidak benar. Adat juga boleh menjadi ibadah andai perkara seperti memasak BUBUR ASYURA' ini kita jadikan sebagai amalan untuk mengingati dan menghayati peristiwa yang berlaku di zaman Nabi Nuh alaihissalam. Malah, tidak salah kita adakan Majlis Memasak BUBUR ASYURA' dengan penghayatan tersebut dan bertujuan untuk memberi makan kepada keluarga, fakir miskin yang sangat memerlukan dan menjamu orang yang berbuka puasa dan sebagainya. Ia akan dihitung sebagai Ibadah yang mulia di sisi Allah Taala, Insya Allah.


Hal ini juga bertepatan dengan sebuah riwayat yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani dan Imam al-Baihaqi yang telah meriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri, Abu Hurairah, Jabir dan Ibn Mas‘ud radhiallahu anhum, bahawa Rasulullah solallahu alaihi wa sallam bersabda:

"Sesiapa yang memberi keluasan/kelapangan (keluasan rezeki) kepada keluarganya pada hari Asyura`, maka Allah akan meluaskan rezekinya sepanjang tahun tersebut."

Para muhaddisin (ahli hadis) berbeza pendapat berkaitan status sanad riwayat ini, ada yang mensabitkan dan ada yang mendhaifkannya. Imam al-Suyuti dalam al-Durar al-Muntathirah menyatakan hadis ini sebagai thabit dan sahih.


Imam Ibn Rejab menulis dalam Lataif al-Ma‘arif, bahawa Imam Sufyan bin ‘Uyainah berkata:
"Kami telah mengamalkan hadis ini selama 50 atau 60 tahun, maka tidak kami lihat melainkan kebaikan.”

Comments

Popular posts from this blog

PERANAN IBU BAPA DAN ANAK MENURUT ISLAM

SEJARAH RINGKAS AISYA HUMAIRA

Dr. Ayman al-Akiti