PKP 2.0: MALAYSIA DARURAT?

[PERSATUAN MAHASISWA HADHARI 20/21]
[EXCO PENERANGAN DAN INFORMASI]
[ISU SEMASA COVID-19]

4 Jamadilakhir  1442H | 17 Januari 2021


[PKP 2.0: MALAYSIA DARURAT?]

Seperti yang sudah sedia maklum, pada 12 Januari 2021 yang lalu, negara kita telah digemparkan dengan satu pengisytiharaan tergempar yang dilakukan oleh Perdana Menteri kita, YAB Tan Sri Muhyidin Yassin berkenaan dengan isu darurat yang sedang berlaku di negara kita. Pemberitahuan ini telah mengejutkan seluruh rakyat Malaysia dan telah menimbulkan pelbagai spekulasi di minda rakyat marhaen khusunya di seluruh pelosok Malaysia. Mengapa perkara sebegini berlaku? Apakah yang sedang berlaku? Pengishtiharaan ini turut telah mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu kenyataan yang dibuat di Istana Negara baru-baru ini (Bernama, 2021).

Namun begitu, segalanya telah terungkai apabila Perdana Menteri kita telah memberikan penjelasan dan justifikasi mengenai isu darurat yang dilakukan dalam satu sidang media baru-baru ini. Hal ini dilakukan bertujuan untuk membantu pembendungan penularan kes Covid-19 dengan lebih berkesan berikutan peningkatan kes yang saban meningkat setiap hari (Junhairi, 2021). Penjelasan ini sekaligus telah menepis segala dakwaan yang menyatakan bahawa perkara ini menyebabkan berlakunya rampasan kuasa oleh pihak tentera (Junhairi, 2021). Beliau turut berkata rakyat masih boleh menjalankan kegiatan kehidupan seharian seperti sediakala kerana pengisytiharaan tidaklah menjejaskan keamanan dan kestabilan negara kita dan ianya hanyalah salah satu langkah proaktif yang dilakukan oleh pihak kerajaan dalam membendung wabak Covid-19 ini. Yang di-Pertuan Agong juga telah memperkenankan pelaksanaan darurat ini dilaksanakan sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga satu tarikh yang lebih awal sekiranya penularan wabak ini dapat dikawal dengan baik (Junhairi, 2021).


Tan Seri Muhyiddin Yassin ketika perutusan khas darurat yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan. - Foto Bernama

 

APAKAH ITU DARURAT?

Apakah itu darurat? Menurut satu perkongsian yang dilakukan oleh Dr. Shamrahayu A Aziz (2020), beliau menyatakan bahawa darurat ialah satu keadaan yang berkaitan dengan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam yang tidak dapat dikawal melalui satu pentadbiran biasa dan pengisytiharaan darurat biasanya akan dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui satu pewartaan yang memaklumkan bahawa sesuatu keadaan telah wujud atau hampir berlaku (Buletin Online, 2021). Terdapat beberapa alasan yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan proklamasi darurat ini dan antaranya adalah disebabkan keselamatan negara, ekonomi negara dan ketenteraman awam (Shamrahayu, 2020). Darurat boleh diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada bila-bila masa sama ada Parlimen masih ada, bersidang ataupun tidak ataupun setelah dibubarkan dengan syarat telah dibuktikan elemen yang dinyatakan iaitu ancaman atau darurat keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam telah atau hampir berlaku (Shamrahayu, 2020).

Antara peristiwa-peristiwa darurat yang pernah berlaku di negara kita ialah  Darurat Tanah Melayu (1948-1960) yang menyaksikan kekosongan kuasa di Tanah Melayu setelah kekalahan tentera Jepun kepada pihak British, Konfrontasi Indonesia-Malaysia (1964) yang berlaku akibat penentangan Indonesia terhadap pembentukan Malaysia dan Rusuhan Kaum 13 Mei (1969) yang menyaksikan satu pertumpahan darah berlaku disebabkan berlakunya pergelutan antara beberapa kaum di Malaysia susulan pilihan raya umum yang berlaku pada tahun tersebut (Affiq, 2021). Justeru, darurat bukanlah satu perkara yang baru dilaksanakan di negara kita malah ianya telah pun diadakan setelah sekian lama untuk menjamin kestabilan keamanan negara dan keselamatan rakyat terbela. 


Foto menunjukkan  rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969


KEPENTINGAN DAN KESAN DARURAT

Terdapat beberapa kepentingan dan kesan darurat yang boleh diperoleh. Antara kepentingannya adalah untuk menjaga keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara (Yusmizal, 2021). Hal ini kerana, melalui darurat yang diadakan ianya menunjukkan telah berlakunya sesuatu perkara yang tidak diingini di dalam sesebuah kerajaan dan ianya memerlukan suatu langkah proaktif dilakukan dengan segera seperti dengan adanya pelaksanaan darurat untuk menstabilkan segala masalah yang berlaku. Misalnya, seperti yang dapat dilihat baru-baru ini dengan adanya peningkatan gelombang ketiga kes Covid-19 di negara kita yang kian mencanak dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda penurunan yang positif, kerajaan terpaksa mengambil langkah untuk melaksanakan darurat di seluruh negara untuk menjaga kebajikan dan kesihatan rakyat khususnya agar lebih terjamin seiring dengan tuntutan agama dalam memelihara Maqasid Syariah iaitu memelihara nyawa. Selain itu, darurat yang diadakan juga dapat menstabilkan kecelaruan politik di dalam sesebuah negara (Awani, 2021). Hal ini kerana, kecelaruan politik yang dialami di dalam sesebuah negara akan menyukarkan tampuk pimpinan kerajaan yang sedia ada dalam menyelesaikan masalah yang dialami (Awani, 2021). Oleh itu, dengan terlaksananya proklamasi darurat ini, pihak kerajaan akan dapat merasai lebih ruang dan peluang dalam menangani masalah yang dihadapi negara tanpa adanya gangguan dari segelintir pihak (Awani, 2021). Lantaran itu, darurat yang dilaksanakan boleh dijadikan sebagai satu mekanisma pentadbiran yang lebih jelas bagi membolehkan pihak kerajaan mengetengahkan pendekatan serta strategi baharu dalam mengendalikan sesuatu masalah (Adzrool, n.d).

Seterusnya, antara kesan yang dapat diperoleh daripada pelaksanaan darurat ini ialah  Perlembagaan negara akan digantung dan pentadbiran negara akan ditentukan oleh pihak Eksekutif dan pihak Eksekutif perseketuan berkuasa untuk memberikan sebarang arahan kepada kerajaan negeri atau mana-mana pegawai atau pihak berkuasa negeri sekiranya proklamasi darurat dilaksanakan (Shamrahayu, 2020).  Selain itu, pihak tentera turut boleh mengambil alih kuasa dalam hal yang berkaitan keselamatan sekiranya diperlukan namun parlimen masih lagi boleh bersidang sekiranya ianya tidak dibubarkan (Shamrahayu, 2020). Justeru, pelaksanaan darurat dapat menunjukkan satu dimensi yang baru dalam tampuk pimpinan sesebuah negara.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, darurat merupakan satu inisiatif yang dilakukan pihak kerajaan dalam menstabilkan keharmonian dan keamanan sesebuah negara. Rakyat seharusnya mendukung hasrat kerajaan dalam melaksanakan perkara ini agar keselamatan, kestabilan dan keamanan sesebuah negara dapat  diperoleh.


Sekian.

 

“ MEMBINA GENERASI BERILMU & BERAKHLAK MULIA “

 

Disediakan oleh:

 

[NURUL FARHANAH BINTI JUMAT]

 

SEKRETARIAT,

EXCO PENERANGAN DAN INFORMASI 20/21

PERSATUAN MAHASISWA HADHARI (PMH)

 

#PMHUiTMSA

#PMHBukanUntukOrangBaik2TapiUntukOrangYangNakJadiLebihBaik

#UnitIsuSemasa

#EPI

 

RUJUKAN

https://www.pmo.gov.my/2020/03/profile-of-prime-minister-tan-sri-muhyiddin-yassin/
https://www.hmetro.com.my/utama/2021/01/662988/agong-perkenan-darurat-sehingga-1-ogos-2021
https://www.hmetro.com.my/utama/2021/01/662988/agong-perkenan-darurat-sehingga-1-ogos-2021
https://buletinonlines.net/v7/index.php/apa-itu-darurat/
https://mykmu.net/2020/10/23/darurat-apa-yang-perlu-kita-tahu-mengenainya/
https://harianpost.my/kronologi-sejarah-9-peristiwa-darurat-yang-pernah-berlaku-di-malaysia/
https://www.sinarharian.com.my/article/27800/BERITA/Nasional/Peristiwa-13-Mei-Pengajaran-perlunya-masyarakat-bersatu-padu
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/662997/darurat-agong-ambil-kira-pandangan-raja-raja-melayu
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/belia-perlu-sokong-darurat-demi-kestabilan-politik-dan-negara-pensyarah-277710
https://www.sinarharian.com.my/article/118482/SUARA-SINAR/Analisis-Sinar/Proklamasi-darurat-solusi-terbaik-akhiri-drama-politik

Comments

Popular posts from this blog

PERANAN IBU BAPA DAN ANAK MENURUT ISLAM

SEJARAH RINGKAS AISYA HUMAIRA

AS MEMILIH: TRUMP VS BIDEN