PILIHANRAYA KAMPUS: UiTM SHAH ALAM SESI 21/22

[PERSATUAN MAHASISWA HADHARI 20/21]
[EXCO PENERANGAN DAN INFORMASI]
[ISU SEMASA]


27 Jamadilawal1442H | 11 Januari 2020

[ PILIHANRAYA KAMPUS: UiTM ]

Pilihan Raya Kampus telah bermula beberapa hari yang lalu. Calon-calon yang bertanding sibuk mempromosi diri dengan manifesto-manifesto yang dapat menarik perhatian mahasiswa untuk mengundi mereka. Pada 8 Januari 2021 tepat jam 9 malam, pihak UiTM Shah Alam telah mengumumkan calon-calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kampus bermula pada 9 Januari 2021 dan akan berakhir pada 13 Januari 2021.

Tarikh-Tarikh Penting

Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) pada tahun ini menggunakan norma baharu iaitu menggunakan medium atas talian serta media sosial untuk berkempen dan proses pembuangan undi. Hal ini demikian kerana sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPB) yang telah di jalankan di seluruh negara.

Pilihan Raya Kampus akan diadakan setiap penggal atau semester bagi memberi nafas baru dalam kepimpinan di UiTM Shah Alam. Pilihan raya didefinisikan sebagai asas memilih seseorang untuk dilantik sebagai pemimpin. Menurut YB Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang berkata, pilihan raya adalah alat bagi memilih pemimpin yang wajib dalam kehidupan bermasyarakat dan menjadi sebahagian daripada syariat Islam. Beliau menambah, Allah SWT mewajibkan adanya kumpulan dalam kalangan umat Islam yang melaksanakannya sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan amar makruf dan nahi munkar (menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."

(Surah Al Imran: 104)

Beliau juga mengatakan bahawa "Haram bagi umat Islam melaksanakan agenda memulau pilihan raya atau merosak undi kerana menarik diri daripada menjadi teras kepimpinan umat yang wajib demi menegakkan Islam dalam pemerintahan negara.” Oleh itu jelas menunjukkan bahawa PRK yang dilakukan selari dengan firman-Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 104 dan jika kita tidak mengundi atau membuat undian rosak adalah haram kerana perbuatan tersebut adalah jumud dan tidak sedia menerima perubahan pemerintahan yang baharu.

 

KEPENTINGAN PILIHANRAYA KAMPUS

Perlu kita semua sedar, kepentingan PRK ini adalah untuk memberi peluang kepada mahasiswa dalam menentukan kepimpinan kampus. Mahasiswa perlu mengambil peluang ini, bagi menentukan barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang diyakini mampu melakukan tugasannya dengan baik. Barisan kepimpinan inilah yang akan menjadi suara-suara mahasiswa di samping membela dan menjaga kebajikan mahasiswa. Proses PRK hampir sama dengan Pilihan Raya Umum (PRU) di Malaysia kerana undian rakyat adalah penentu negara, begitu juga dengan PRK. Mahasiswa yang akan menentukan pemimpin pilihan mereka kerana ia merupakan salah satu hak bersuara dan juga hak kebebasan. Tahun ini, barisan kepimpinan mahasiswa di UiTM akan ditentukan oleh undian mahasiswa yang akan dilakukan pada 12 sehingga 13 Januari 2021.

Selain itu, PRK juga memberikan pendedahan awal kepada mahasiswa dalam PRU Malaysia. Mahasiswa akan terdedah dengan proses penamaan calon sehingga pengumuman undian sepanjang PRK berlangsung. Mahasiswa turut merasa suasana berkempen dan manifesto-manifesto yang di sebarkan untuk mendapat undian. Proses ini hampir serupa dengan proses PRU di Malaysia. Jelaslah bahawa, penglibatan mahasiswa dalam PRK sangat penting dalam membentuk pemimpin dikalangan mereka.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, Pilihan Raya Kampus merupakan salah satu persaingan sihat serta dapat memberikan peluang kepada calon yang terpilih dalam menjadi seorang pemimpin yang berkualiti dan mengikut syariat Islam. Oleh itu, kepada semua mahasiswa UiTM Shah Alam dan kampus-kampus lain, marilah kita menunaikan tanggungjawab kita untuk mengundi dalam pilihan raya kali ini. Marilah kita memilih calon-calon yang dapat membela kepentingan mahasiswa serta membentuk suasana Islam di kampus. PRK kali ini pastinya memberi pengalaman yang berharga kepada kita iaitu menjalani pilihan raya kampus secara atas talian.

 

"MEMBINA GENERASI BERILMU & BERAKHLAK MULIA"

 

Disediakan oleh:

[SITI NUR AISYAH BINTI AZMI]

SEKRETARIAT,

EXCO PENERANGAN DAN INFORMASI 20/21,
PERSATUAN MAHASISWA HADHARI (PMH)

#PMHUiTMSA
#PMHBukanUntukOrangBaik2TapiUntukOrangYangNakJadiLebihBaik
#UnitIsuSemasa
#EPI

 _____________________________________________________________________

RUJUKAN


Comments

Popular posts from this blog

PERANAN IBU BAPA DAN ANAK MENURUT ISLAM

SEJARAH RINGKAS AISYA HUMAIRA

AS MEMILIH: TRUMP VS BIDEN