FRONTLINER: TETAP UTUH WALAU DIBADAI KEDEGILAN MASYARAKAT

[PERSATUAN MAHASISWA HADHARI 20/21]
[EXCO PENERANGAN DAN INFORMASI]
[ISU SEMASA COVID-19]

18 Syaaban 1441H | 12 April 2020


[ FRONTLINER: TETAP UTUH WALAU DIBADAI KEDEGILAN MASYARAKAT ]

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi dilanjutkan berikutan pengumuman daripada Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin pada 10 April yang lalu. Tarikh lanjutan PKP akan bersambung dari 15 April sehingga 28 April oleh kerana kes masih meningkat hari demi hari. Seperti biasa, dalam waktu rakyat Malaysia berkurung, para petugas barisan hadapan iaitu staf-staf pusat kesihatan, polis dan lain-lain tetap meneruskan perjuangan mereka dalam mengawal penularan wabak COVID-19.

Usaha para petugas barisan hadapan dalam menangani wabak pandemik ini sentiasa mendapat perhatian masyarakat awam. Mereka sanggup merisikokan diri dan meninggalkan keluarga untuk melaksanakan tugas masing-masing sepanjang perintah kawalan pergerakan. Tersebar di media sosial, gambar-gambar dan video para petugas kesihatan berpenat lelah menjalankan tanggungjawab mereka. Manakan tidaknya, mereka perlu bekerja lebih masa untuk memberi perhatian penuh kepada para pesakit positif COVID-19. Bahkan ada yang terpaksa tidur di tempat kerja dan menjauhkan diri dari anak-anak.


Keadaan frontliner sejak COVID-19 menular di Malaysia

Walaupun begitu, terdapat segelintir rakyat Malaysia yang masih berdegil. Mereka melanggar arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk kepentingan diri sendiri. Lihat sahajalah, jumlah kes tangkapan Operasi Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan meningkat kepada 666 kes sehingga 10 April yang lalu. Keadaan ini jelas menunjukkan masih ada masyarakat yang tidak memandang serius tentang wabak ini. Sungguh menyedihkan, perlakuan mereka inilah yang menyebabkan rantaian wabak tidak dapat diputuskan seterusnya menambah kerja kepada para petugas barisan hadapan. Kedegilan mereka seolah-olah menunjukkan mereka tidak menghargai usaha petugas barisan hadapan. Dalam masa yang sama, terdapat juga masyarakat yang tidak berlaku jujur ketika mendapatkan rawatan, menyukarkan lagi tugas-tugas staf kesihatan. 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merayu kepada seluruh rakyat Malaysia agar berterus terang ketika mendapatkan rawatan dimana-mana fasiliti kesihatan bagi melindungi staf dari risikon jangkitan wabak. Tambahnya lagi, beberapa orang staf telah positif COVID-19, berikutan ketidakjujuran masyarakat.

“Lihat bagaimana anggota kami perlu membersihkan salah sebuah Jabatan Pesakit Luar di fasiliti Kesihatan setelah mengetahui seorang pesakit yang datang mendapatkan rawatan sebelumnya positif Covid-19. Masa yang sepatutnya digunakan untuk merawat pesakit terbuang untuk hal sebegini.”

Kementerian Kesihatan Malaysia

Berhentilah berdegil dan bantulah para petugas barisan hadapan yang sedang bertungkus-lumus meredakan wabak ini. Mereka sedang berjihad menghalang penularan penyakit daripada terus merebak. Maka, usaha kita sebagai rakyat Malaysia pula adalah dengan duduk di rumah dan dengar arahan daripada kerajaan.

  • JIHAD PARA PETUGAS BARISAN HADAPAN

Jihad bermaksud menghadapi kesusahan dan mengerah tenaga. (Kamus Lisan al-‘Arab: 3/133) Daripada segi istilah, terdapat banyak takrifan jihad oleh para ulama. Al-Kasani mengatakan bahawa jihad pada uruf syarak digunakan pada mengerah sepenuh kemampuan untuk berjuang pada jalan Allah s.w.t dengan nyawa, harta, lisan dan lain-lain. (Bada’i’ al-Sana’i’: 7/97) Sebahagian fuqaha seperti Ibn ‘Arafah (al-Fawakih al-Dawani: 2/879), Ibn Hajar (Fath al-Bari: 1/6) dan al-Buhuti (Syarh Muntaha al-Iradat: 1/716) telah mentakrifkan jihad dengan perang secara khusus. Ini bermakna, terdapat dua takrifan mengenai jihad iaitu jihad am dan jihad khas. Secara am ia meliputi pelbagai jenis jihad sama ada dengan harta, lisan dan nyawa manakala secara khas ia bermaksud memerangi musuh. [1]

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Mengikut takrifan ribat secara istilah, barisan hadapan ialah Al- murobitun. Mereka ialah golongan yang mempertahankan perbatasan umat dan negara daripada musuh. Takrif ribat tidak terbatas kepada tempat sahaja. Ia termasuk juga sempadan permikiran (golongan ulama dan intektual) dan sempadan keselamatan (para tentera, anggota keselamatan, anggota perubatan). Bagi sesiapa sahaja yang termasuk dalam golongan ini, mereka mendapat pahala jihad fis sabililah dan layak mendapat mati syahid. [2]
Sumber: Ismaweb.net.


Pandemik COVID-19 ini tidak dinafikan memberi kesan terhadap semua aspek kepada negara termasuklah sistem kesihatan, keselamatan, ekonomi dan pendidikan. Di saat kita merasa kesedihan tidak dapat menjalani kehidupan seperti biasa kerana wabak penyakit ini, petugas barisan hadapan ini dikerahkan usaha & tenaga lebih dari kebiasaan. Jika sebelum ini, mereka harus memberikan 100% usaha dalam kerja mereka, ketahuilah kini mereka dikerahkan untuk memberikan beberapa kali ganda usaha biasa mereka. Disamping melaksanakan tugas untuk negara, mereka juga terpaksa berkorban secara peribadi menentang makluk kecil yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia. Media massa telah banyak melaporkan beberapa kes dimana ahli keluarga staf barisan hadapan juga didapati positif COVID-19. [3]

  •  IKTIBAR
Janganlah kita bersikap mementingkan diri dengan mengukur kerugian kita sahaja. Ambil sedikit masa menoleh ke tingkap sebelah milik kawan kita, saudara jauh atau jiran kita. Jika kita masih berdegil dengan cemburu, kita tak dapat menjemput rasa syukur dalam diri kita. Dalam hidup, ada yang lebih bernasib baik dan bernasib buruk daripada kita. Mungkin kita tidak dapat pergi bekerja seperti biasa tetapi di luar sana ada yang terpaksa bekerja walaupun risiko mendapat jangkitan itu tinggi. Muhasabahlah diri dan caknalah dengan keadaan semasa. Daripada kita asyik merungut, marilah kita bersama-sama berdoa agar wabak ini berhenti. 

Semoga para petugas barisan hadapan diberi ganjaran yang selayaknya daripada Allah SWT.

"MEMBINA GENERASI BERILMU & BERAKHLAK MULIA"

Disediakan oleh:

[NUR ZULIANA BINTI ZAINAL ALAM]

SEKRETARIAT,
EXCO PENERANGAN DAN INFORMASI 20/21,
PERSATUAN MAHASISWA HADHARI (PMH)

#PMHUiTMSA
#PMHBukanUntukOrangBaik2TapiUntukOrangYangNakJadiLebihBaik
#UnitIsuSemasa
#EPI

_______________________________________________________________________________

Rujukan:

[3] https://kpkesihatan.com/2020/04/03/kenyataan-akhbar-kpk-3-april-2020-situasi-semasa-jangkitan-penyakit-coronavirus-2019-covid-19-di-malaysia/

Comments

Popular posts from this blog

PERANAN IBU BAPA DAN ANAK MENURUT ISLAM

SEJARAH RINGKAS AISYA HUMAIRA

Dr. Ayman al-Akiti