BAHANA PORNOGRAFI SEPANJANG PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

[PERSATUAN MAHASISWA HADHARI 20/21]
[EXCO PENERANGAN DAN INFORMASI]
[ISU SEMASA COVID-19]

7 Syaaban 1441H | 1 April 2020


[BAHANA PORNOGRAFI SEPANJANG PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN]

Sejak wabak Covid-19 diisytihar pendemik, kerajaan Malaysia mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan virus ini daripada terus berleluasa. Pada 18 Mac yang lalu,  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikeluarkan menyebabkan semua rakyat Malaysia terhad pergerakannya. Tindakan tegas akan diambil bagi mereka yang mengingkari arahan PKP. Disebabkan tidak dapat keluar dari rumah dan tidak dapat memenuhi tuntutan kerja dan belajar, maka rakyat Malaysia mempunyai banyak masa lapang. Bahkan masa lapang ini akan terus berlangsung sehingga 14 April berikutan perlanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada 27 Mac yang lalu.

Masa lapang yang diberikan sepatutnya boleh digunakan untuk merapatkan semula hubungan antara keluarga, meningkatkan amal ibadah dan menyiapkan kerja rumah yang tergendala. Namun sungguh mengecewakan, apabila segelintir rakyat Malaysia menggunakannya untuk perkara yang tidak berfaedah. Sungguh mengejutkan, statistik carian laman web pornografi mencanak naik sepanjang tempoh PKP ini. Laman web yang menghidangkan perbuatan maksiat ini mendapat sambutan diluar jangkaan. Berdasarkan kajian daripada laman pornografi terkemuka, Pornhub, Malaysia berada pada tangga keempat dengan peningkatan carian sebanyak 84%. Bukan setakat Malaysia sahaja yang telah menyumbang kepada kenaikan trafik di laman pornografi semasa tempoh PKP ini, bahkan statistik mereka menunjukkan bahawa trafik di seluruh dunia melonjak sehingga 11.6% daripada hanya 6.5% dari 16 hingga 17 Mac yang lalu, tarikh di mana kebanyakan negara di seluruh dunia mengisytiharkan lockdown.

Kajian daripada laman ‘Pornhub’ menunjukkan Malaysia merupakan negara keempat tertinggi melakukan pencarian bahan lucah di laman mereka.


MASIH TIDAK CUKUPKAH MUSIBAH YANG BERLAKU? 

Allah SWT datangkan ujian wabak Covid-19 ini untuk umat manusia bermuhasabah, namun tanpa keinsafan segelintir manusia masih bermaksiat seolah-olah meminta lagi laknat dan murka Allah SWT. Kita seharusnya sedar, musibah yang diturunkan ini merupakan peringatan daripadaNya. 

Firman Allah swt:

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya:

“Dan peliharalah dirimu daripada azab yang bukan hanya menimpa orang zalim di kalangan kamu sahaja dan ketahuilah Allah amat keras azab siksa-Nya”
(Surah Al-Anfal: 25)

Isu ini bukanlah suatu yang baru dalam zaman ini. Peringatan demi peringatan telah diberikan tentang kesan dan bahayanya pornografi, tetapi masih dipandang enteng bahkan meningkat setiap tahun. Lebih berbahaya, bukan sahaja golongan dewasa yang terjebak dengan pornografi ini, bahkan golongan kanak-kanak turut dipengaruhi. Hal inilah yang menyumbang kepada kehancuran akhlak dan moral umat manusia. 

Dalam seminar mengenai kesan pornografi terhadap kerosakan otak di Jakarta suatu ketika dulu, seorang pakar mengatakan bahawa ketagihan pornografi mengakibatkan otak bahagian tengah depan yang disebut Ventral Tegmental Area (VTA) secara fiziknya mengecil.

“Pornografi menimbulkan perubahan tetap pada neorotransmiter dan melemahkan fungsi kawalan. Ini yang membuat orang-orang yang sudah kecanduan tidak dapat lagi mengawal perilakunya,”

Donald L.Hilton Jr MD
Ahli Bedah Saraf
Hospital San Antonio, Amerika Syarikat

Kesan ini tidak akan berlaku secara cepat dalam waktu yang singkat. Ia akan berlaku secara berperingkat sehingga rosaknya perilaku penagih itu. Kerosakan otak akibat ketagihan pornografi adalah yang paling berat, lebih berat daripada ketagihan kokain (dadah).


ISLAM MELARANG TEGAS UMATNYA TERJEBAK DENGAN PORNOGRAFI!

Setiap larangan daripada Allah SWT pasti bersebab. Dia tidak akan sesekali menurunkan perintah mahupun larangan tanpa hikmah untuk umat manusia.  

Allah SWT berfirman:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: 

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan).” 
(Surah Al-Israa’: 32)

Berkata Ibn Kathir dalam Tafsir-nya bahawa Allah melarang para hamba-Nya daripada melakukan zina dan juga perkara yang membawa dekat kepada zina seperti sebab-sebab dan seruan-seruannya.

Daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا العَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ المَنْطِقُ، والقلب تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ كُلَّهُ وَيُكَذِّبُهُ

Maksudnya: 

“Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Golongan yang terjebak dalam pornografi ini, gemar membahaskan bahawasanya mereka hanya melihat untuk tatapan mereka, dan tidak sekali pun menimbulkan kekacauan diluar sana. Mereka sebolehnya menafikan perkaitan ketagihan mereka dengan tindak tanduk pelaku zina.

Kita perlu ketahui, apabila seseorang yang melihat bahan-bahan pornografi secara tidak langsung keinginan dalam dirinya akan bertambah. Dia akan mahukan lagi dan lagi. Jika dia memulakan melihat hanya dengan gambar, langkah seterusnya dia akan melihat kepada video. Kemudian apabila dia mula melihat kepada video lucah yang biasa, maka keinginan yang seterusnya melihat video yang lebih ganas (hardcore). Sedar atau tidak, semua perkara ini menjadikan pemikiran penagih porno semakin rosak dari hari ke hari sehingga boleh membawa kepada kerosakan moral, malah lebih teruk lagi apabila keinginan mencuba itu semakin membuak-buak lalu berlakulah pelbagai kes seperti kes rogol, zina dan pedofilia.

Allah SWT menegaskan ayat-Nya “jangan mendekati zina” dalam Surah al-Israa’ kerana perbuatan “mendekati” itulah yang akan menjatuhkan manusia kepada lembah zina. Maka, sebelum manusia jatuh ke jurang itu, Islam telah melarang agar tidak sesekali mendekatinya. 


MAKSIAT YANG MEMAKAN DIRI! 

Mata yang dibiarkan bebas melihat perkara-perkara yang haram akan menggelapkan hati sendiri seterusnya membentuk cita-cita dan khayalan yang panjang serta jauh dari mengerjakan kebaikan.

Ibn Qayyim dalam al-Jawab al-Kafi li Man Saala al-Adawa’ al-Syafi telah menukilkan berkenaan kesan dan pengaruh maksiat. Antaranya ialah:

1. Terhalang dari mendapat ilmu
2. Terhalang dari rezeki yang murah
3. Merasa jauh dari rahmat Allah
4. Merasa terpinggir dari hubungan sesama manusia
5. Segala urusan menjadi sukar dan sulit
6. Hati menjadi gelap
7. Terhalang dari melakukan ketaatan
8. Boleh memendekkan umur seseorang
9. Mengheret kepada kemungkaran yang lain
10. Melemahkan ransangan ketaatan

Kesan-kesan pornografi jika disenaraikan, tidak akan habis satu malam. Ia memusnahkan diri perlahan-lahan dari sudut akal dan perbuatan seperti yang disebut oleh Ibn Qayyim. Kesan ini akhirnya menghancurkan identiti seorang muslim bahkan melenyapkan nilai kemanusiaan dalam diri. 

Lihat sahaja diluar sana, kadar kes buang bayi meningkat hari demi hari. Dimana hilangnya nilai belas kasihan dalam diri pelaku? 

Kes buang bayi yang tiada hentinya.

Kes buang bayi bermula dari perbuatan zina, yang mana hadirnya keinginan berzina itu dari hati, mata, telinga dan mulut yang tidak dijaga dari perkara-perkara yang menjurus kepadanya. Belum lagi jika dihuraikan punca pedofilia. Masih ingatkah lagi, tahun 2015 kita dikejutkan tentang kisah seorang pelajar pintar Matematik dari Malaysia, Nur Fitri Azmeer Nordin, 28 tahun, yang dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan kerana memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London, United Kingdom? Mahkamah Southwark Crown menjatuhkan hukuman penjara terhadap penuntut Imperial College di London itu selepas dia mengaku bersalah terhadap 17 pertuduhan memiliki bahan pedofilia dengan niat untuk mengedarkannya. Ketagihannya dengan pornografi perlahan-lahan menyumbang dirinya dalam kes pedofilia. Pedofil yang tidak dirawat berisiko tinggi untuk melakukan jenayah seksual yang lebih ganas.

Ringkasnya, pornografi sememangnya merosakkan akal kita. Ilmu tidak akan lagi sudi bertandang kepada kita dek kerana kita dikelilingi dengan khayalan kotor. Lebih menyedihkan, ketagihan ini menjadikan kita hilang rasa gentar dan taat kepada Allah SWT. Ibadah dan amal ditunggang-langgangkan untuk memenuhi keinginan nafsu semata. Lantaran itulah yang membawa kepada kerosakan yang lebih besar.


KEMBALILAH KEPADA ALLAH SWT SEBELUM AJAL MENJEMPUT KITA.

Cukup-cukuplah dengan azab yang Allah SWT hamparkan. Gunakanlah peluang yang Allah SWT berikan ini untuk kembali kepada-Nya. Ilmu didada masih kurang, maka gunalah capaian internet yang ada untuk mengikuti majlis ilmu atas talian, daripada menghabiskannya untuk kemungkaran. Amal masih tidak memuaskan, maka gunakan masa yang ada untuk meningkatkan ibadah-ibadah yang terlopong, daripada mensia-siakan untuk kemaksiatan. Hubungan sesama keluarga ada jurangnya, maka gunakan peluang ini untuk menghidupkan semula kasih sayang bersama mereka.

Kehidupan di dunia ini sangat singkat. Kes kematian daripada wabak Covid-19 bertambah hari demi hari. Walaupun kita tidak terjangkit, kematian itu sentiasa menghampiri kita. Pilihlah kematian seperti mana yang kita impikan. Kematian ketikat menatap porno ataupun kematian di tikar sejadah?

Semoga Allah SWT memelihara kita daripada perbuatan mungkar dan maksiat. 

Sekian.


"MEMBINA GENERASI BERILMU & BERAKHLAK MULIA"

Disediakan oleh:

[NUR AZIELA BINTI SUHAIMI]

SETIAUSAHA EXCO,
EXCO PENERANGAN DAN INFORMASI 20/21,
PERSATUAN MAHASISWA HADHARI (PMH)

#PMHUiTMSA
#PMHBukanUntukOrangBaik2TapiUntukOrangYangNakJadiLebihBaik
#UnitIsuSemasa
#EPI

Comments

Popular posts from this blog

PERANAN IBU BAPA DAN ANAK MENURUT ISLAM

SEJARAH RINGKAS AISYA HUMAIRA

Dr. Ayman al-Akiti