TANGISAN UIGHUR DISEBALIK TEMBOK BESAR CHINA : PENGEKSPLOITASIAN ORGAN

[PERSATUAN MAHASISWA HADHARI 19/20]
[EXCO PENERANGAN DAN INFORMASI]
[ISU SEMASA]

01 Safar 1441H | 30 September 2019

[TANGISAN UIGHUR DISEBALIK TEMBOK BESAR CHINA : PENGEKSPLOITASIAN ORGAN]


مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ، وَتَعَاطُفِهِمْ، وَتَرَاحُمِهِمْ، مَثَلُ الْجَسَدِ، إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

“Perumpamaan orang mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi, seumpama seluruh tubuh, jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam.” [HR. Muslim]

Siapa sangka, dalam arus modernisasi dan penaklukan teknologi yang dikecapi oleh China, mereka menyimpan sisi gelap penindasan etnik Uighur yang beragama Islam, yang amat mengejutkan seluruh masyarakat dunia. Cangkaliwang yang disorok dari pengetahuan semua pihak ini, mengundang kemarahan penduduk dunia, namun tidak sedikit pun menggentarkan negara kuasa veto tersebut meskipun menerima tamparan hebat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Etnik Uighur merupakan etnik berketurunan Turki yang berasal dari Turkistan Timur atau sekarang dikenali sebagai Daerah Xinjiang. Hal ini terjadi setelah wilayah ini ditakluk sepenuhnya oleh Parti Komunis China pada tahun 1955, yang membawa kepada penukaran nama kepada Wilayah Autonomi Xinjiang.

Penaklukan ini telah membawa kepada penindasan dan kezaliman yang tidak terbayang dek akal manusia normal. Segala amalan dan nilai-nilai Islam telah dihapuskan sama sekali, malah Muslim Uighur telah dipaksa untuk murtad serta berkahwin dengan penduduk tempatan bagi menghilangkan status beragama Islam.

Baru-baru ini, pengamal keamanan sekali lagi digemparkan dengan isu pengeploitasian organ yang dilakukan oleh kerajaan China. Bukan sahaja tanah air dan seluruh kehidupan dirampas, malah kesempurnaan badan juga turut menjadi taruhan. Kerajaan China  telah mengeksploitasi organ dengan mengambil secara paksa hati, buah pinggang, paru-paru, kornea dan kulit bagi tujuan komoditi pasaran gelap dan tujuan perubatan. Lebih parah lagi, ada diantara mangsa yang diambil organnya hidup-hidup tanpa belas kasihan. Perkara yang melanggar norma kemanusiaan ini sungguh keterlaluan. Meskipun China menafikannya namun, jika tiada angin masakan pokok bergoyang.

Antara penindasan lain yang diterima oleh Muslim Uighur ialah:

1. Muslim Uighur dilarang untuk solat, berpuasa mahupun melakukan apa-apa jua ibadah berkaitan Islam. Muslim Uighur lelaki juga dilarang untuk menunaikan solat Jumaat, malah masjid-masjid juga turut ditutup. Kawasan disekitar masjid juga dicemarkan dengan aktiviti yang tidak berfaedah seperti tari-menari.

2. Muslim Uighur tidak dibenarkan untuk memakai tudung, membela janggut, malah tidak boleh langsung mengenakan pakaian yang mempunyai unsur Islam. Pembelajaran Al-Quran juga tidak dibenarkan kepada anak-anak muda Uighur.

3. Lebih satu juta etnik Muslim Uighur ditempatkan dalam Pusat Vokasional (concentration camp) yang bertujuan menghapuskan segala bentuk pemikiran dan penyebaran Islam, serta pelbagai penderaan fizikal dan mental dilakukan kepada mereka.

"Mereka sangat takut walaupun hanya untuk menjawab salam saya" - Joe Hattab, seorang ikon Youtube yang berkunjung ke wilayah Xinjiang (Jun 2019)

4. Mereka juga sentiasa dikawal dengan sangat ketat oleh pihak berkuasa, ditambah lagi dengan pemasangan kamera litar tertutup di mana-mana sahaja, termasuk di jalan-jalan besar dan premis. Segala aktiviti harian mereka dikawal dengan rapi.


Segala kekejaman yang dilakukan terhadap masyarakat Muslim Uighur wajar dihentikan dengan segera. Hal ini demikian kerana, penindasan seperti ini sudah terang lagi bersuluh, telah melanggar hak asasi manusia dalam aspek kebebasan untuk beragama. Hal ini berlaku bukanlah kerana musuh-musuh Islam itu terlalu kuat, tetapi kerana umat ini terlalu lemah.

Justeru itu, kita sebagai umat Islam haruslah cakna dengan isu semasa yang menimpa saudara sesama Islam kita dan berusaha untuk membantu dalam segala bentuk yang termampu, meskipun melalui doa, kerana doa merupakan senjata Mukmin.


"MEMBINA GENERASI BERILMU & BERAKHLAK MULIA"

Disediakan oleh:

Nur Alia Natasha binti Mohamad Salleh

Sekretariat Penerangan dan Informasi 2019/20,
PERSATUAN MAHASISWA HADHARI (PMH)

#PmhUitmSA
#PMHBukanUntukOrangBaik2TapiUntukOrangYangNakJadiLebihBaik
#UnitIsuSemasa
#EPI

Comments

Popular posts from this blog

PERANAN IBU BAPA DAN ANAK MENURUT ISLAM

SEJARAH RINGKAS AISYA HUMAIRA

Dr. Ayman al-Akiti