FASAL 1: HAKIKAT ILMU DAN PENGETAHUAN SERTA KELEBIHANNYA


HURAIAN RINGKAS BERKENAAN DENGAN KITAB تعليم المتعلم في طريق التعلم TA’ALIM MUTAALIM FI TARIQI TA’LUM
(BAGI MEMBAHASKAN ADAB-ADAB SEORANG PENUNTUT ILMU) KARANGAN SYEIKH BURHANUL ISLAM AZ ZARNUJI

SUMBER: USTAZ NAZRUL NASIR AL AZHARY
DISUSUN SEMULA OLEH: EXCO PENERANGAN DAN INFORMASI PERSATUAN MAHASISWA HADHARI SESI 18/19

SIRI 2

FASAL 1: HAKIKAT ILMU DAN PENGETAHUAN SERTA KELEBIHANNYA

Rasulullah S.A.W telah bersabda

 وَمُسْلِمَةٍطَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
Ertinya: Menuntut ‘ilmu itu satu kefardhuan ke atas setiap lelaki yang Muslim dan wanita yang Muslimah.

Ketahuilah bahawa setiap lelaki muslim dan setiap wanita muslimah itu tidak dituntut mencari semua ‘ilmu tetapi dia hanya dituntut mencari ‘ilmu yang semasa(yang bersangkutan dengan keperluan semasa dari sudut ‘Akidah, Fiqh, Akhlak dan sebagainya.

*Kita perlu ambil yang penting daripada yang penting (Al Aham Fal Mughib) “Yang paling kemudian yang penting”.
Seperti yang selalu diungkapkan sebaik-baik ‘ilmu itu mengetahui keperluan semasa dan sebaik-baik perkerjaan itu menunaikan keperluan semasa. Setiap orang Muslim perlulah mempelajari ‘ilmu berdasarkan hal-hal semasa yang berlaku pada dirinya dalam bidang apa sekalipun. Contohnya, dia sudah tentu melaksanakan sembahyang maka wajiblah keatasnya mempelajari perkara-perkara yang akan berlaku padanya di dalam sembahyang, sekadar yang akan membantunya menyempurnakan kefardhuan sembahyang, ertinya dia perlu mempelajari sehingga dia dapat mengetahui fardhu yang dia laksanakan. Oleh yang demikian, untuk menyempurnakan fardhu pada perkara-perkara yang fardhu dalam sembahyang. Dan apakah fajar yang perlu dilaksanakan bagi menyempurnakan wajib bagi perkara-perkara yang wajib sembahyang.
*Fardhu yang wajib (Imam Zarnuji bermazhab Hanafi)
Fardhu – perkara tersebut menjadi rukun berdasarkan kepada dalil qat’ie
Wajib – Perkara yang wajib hanya berdasarkan kepada dalil yang Zhanni
                Contoh: Solat lima waktu. Solat lima waktu adalah fardhu bagi Mazhab Hanafi dan Mazhab Syafi’e, tetapi solat sunat witir itu wajib bagi Mazhab Hanafi, kerani berdasarkan kepada dalil dzanni ataupun hadis yang tidak sampai kepada peringkat Mutawattir, yang menunjukkan Nabi tidak pernah meninggalkan solat witir. Bagi mazhab Hanafi, tinggal solat fardhu dianggap berdosa.

Begitulah keadaannya dengan puasa, zakat sekiranya seseorang memiliki harta. Manakala haji jika difardhukan untuk mengerjakannya dan begitu juga berkenaan dengan jual beli sekiranya seseorang itu melibatkan diri dalam urusan-urusan perniagaan. Pernah seseorang bertanya kepada Imam Muhammad bin Hassan Rahimahullah Taala “Kenapa kamu tidak mengarang kitab berkenaan dengan zuhud?” Beliau menjawab “Saya telah pun mengarang kitab berkenaan urusan jual beli ” ertinya seseorang boleh menjadi zuhud dengan menghindari perkara-perkara yang syubhah(ragu-ragu) dan perkara-perkara yang makruh dalam urusan jual beli, begitu juga dengan urusan-urusan lain dalam perkerjaaan kemahiran yang lain. Maka barangsiapa terlibat dengan sebarang bidang tersebut, hendaklah mempunyai ilmu yang menjauhkan mereka dari perkara haram dalam urusannya itu, seseorang Muslim juga difardhukan untuk mengetahui ‘ilmu tentang berkenaan urusan hati termasuk tawakkal, inabah, khasyiah dan redha kerana setiap orang Islam pasti akan terlibat dalam hal-hal tersebut.

*Kenapa beliau(Imam Muhammad bin Hassan As Syaibani) mengarang ktab muamalah(jual beli)? Maka beliau menjawab “Siapa dapat bermuamalah dengan manusia dengan baik, maka itulah zuhud yang sebenar.” Beliau maksudkan apa yang patut kamu beri perhatian terhadap ilmu terlebih dahulu. Zuhud bermaksud dunia tidak diletakkan dalam hati tetapi diletakkan di hujung tangan.
Kisah seorang wali berjumpa dengan adik dia, adik dia seorang yang soleh, kerjanya nelayan kemudian dia berkawan dengan orang soleh yang lain. Suatu hari, orang soleh ini hendak pergi bermusafir suatu tempat, maka nelayan yang soleh ini pesan kepada kawannya, “Jika kamu ke negeri tersebut, jumpa dengan abang aku, sampaikan salam kepadanya”. Maka si soleh ini memulakan perjalanannya sampai ke negeri tersebut, dia carilah abang kepada sahabatnya nelayan. Terkejut dia melihat rumah abang kepada nelayan yang soleh miskin. Rumah itu dilengkapi dengan pembantu, pengawal dan sebagainya. Apabila buat perjumpaan antara mereka, maka berjumpalah mereka berdua. Sebelum si soleh ini balik ke negerinya si abang nelayan suruh sampaikan pesanan kepada adiknya supaya tinggalkan dunia. Apabila si soleh pulang ke kampong dan sampaikan pesanan kepada si nelayan, menangis si adiknya. Si nelayan berkata, “Benar apa yang abang aku kata, kerana kamu Nampak keadaan aku ini miskin, maka dianggap orang aku ini zuhud. Padahal dalam hati aku penuh dengan dunia”.

Kelebihan ‘ilmu Pengetahuan

Tidak ada orang yang tersembunyi daripadanya bahawa ‘ilmu itu merupakan kelebihan manusia berbanding dengan makhluk-makhluk lain. Justeru, jika tanpa ilmu pengetahuan, maka manusia adalah sama dengan binatang-binatang lain samada dari sudut keberanian, gagah, kuat, pemurah atau berbelas kasihan dan sebagainya.
Hanya dengan ilmulah Allah S.W.T telah menonjolkan kelebihan Nabi Adam a.s keatas para malaikat dan memerintah antara mereka sujud kepadanya.
Sesungguhnya ilmu itu dimuliakan hanyalah kerana ilmu menjadi perantaraan untuk mencapai takwa, yang mana taka menyebabkan seseorang itu mendapat kemuliaan disisi Allah dan memperolehi kebahagiaan yang abadi seperti pernah diungkap sebuah syair Imam Muhammad bin Hassan  bin Abdullah yang berbunyi:


Erti:
1           1)      Belajarlah, sesungguhnya ilmu itu perhiasan untuk pemiliknya
2           2)      Keistimewaan serta alamat mencapai segala kepujian
3           3)      Berusahalah setiap hari mendapat tambahan faedah ilmu
4           4)      Berenanglah sentiasa di lautan pelbagai pengajaran
5           5)      Dalamilah ilmu fiqh, kerana ilmu fiqh itu sebaik memerlu kearah kebaikan dan taqwa
6           6)      Serta penyempurna arah tuju
7           7)      Ialah petunjuk menuju jalan hidayah
8           8)      Ialah benteng penyelamat diri, penyelamat dari segala yang payah
9           9)      Sesungguhnya, seorang yang faqih lagi wara’
1          10)      Lebih sukar bagi syaitan dari berhadapan dengan seribu ahli bid’ah

Seterusnya, seseorang juga perlu mengetahui ilmu-ilmu akhlak yang seumpama kepemurahan, bakhil pengecut, berani, bongkak, merendah diri dan iffah(penjagaan diri), boros, dan berkira dan lain-lain.

*Kita perlu belajar ilmu ‘Aqidah, Fiqh yang dimaksudkan dalam syair tadi adalah Fiqhul Al-Asr, Fiqhul Kabir Al Akbar), Fiqh yang kecil merujuk kepada syariat yang kita belajar manakala Fiqhul Akbar adalah fiqh yang berkaitan dengan Aqidah. Perlu juga kita mengaji ilmu berkait mengenal hati. Seseorang tidak akan bersama dengan Allah sebelum dia mengenal sifat-sifat yang baik dalam hati. Perkara yang pertama perlu belajar ialah bagaimana hendak takhalli – menyucikan hatai dan dirinya daripada perkara yang tidak elok. Kemudian Tahalli – menghiaskan dirinya dengan sifat yang baik. Kemudian Tajalli – bertemu dengan Allah S.W.T.

Ini kerana bongkak, bakhil dan pengecut, boros adalah haram, seseorang itu tidak mungkin akan dapat menjauhkan diri daripada sifat-sifat tersebut melainkan dia memilih bidang ilmu tentangnya dan ilmu tentang sifat-sifat sebaliknya. Maka wajiblah seseorang belajar tentang sifat-sifat berkenaan.

Seorang ulama’ terkenal, Imam Asy-Syahid Nasiruddin Abu Kassim telah mengarang satu kitab tentang akhlak dan karangannya adalah terbaik dalam bidang berkenaan. Wajiblah ke atas seseorang muslim memelihara dan mempelajari perkara-perkara asas diatas, fardu ain.

*Di antara kitab tasawwuf yang disusun oleh Syeikh Abdul Qadir Al Mandili, Penawar Bagi Hati amat baik untuk rujukan kita(merumuskan daripada kitab ihya’ Ulumuddin, Bidayatul Hidayah). Pengarang meletakkan suatu ibarat, Takhalli seperti kita mandi, Tahalli seperti pakai baju cantik-cantik, Tajalli seperti jumpa dengan kekasih.

Adapun perkara yang berlaku sekali sekala maka memelihara dari mempelajarinya hanyalah difardukan atas dasar fardu kifayah sahaja. Ertinya, apabila sebahagian individu dalam suatu negeri telah melaksanakannya, maka bebaslah tanggungan tersebut. Sebaliknya, jika tidak ada orang yang mampu melaksanakan dalam sesebuah masyarakat, maka mereka berkongsi seksa api neraka.
Sewaktu itu, pemerintah perlulah memaksa mereka mempelajari perkara-perkara yang termasuk dalam fardu kifayah tersebut. Olehitu, ada orang berpandangan bahawa mempelajari ilmu sesuatu yang seseorang akan sentiasa terlibat dengannya.

*Perumpamaan pada ilmu fardu ain dengan makan makanan. Kata Ulama’, seseorang bila tidak makan selama 3 hari, adatnya akan mati. Sama juga dengan hati, bila 3 hari tidak menuntut ilmu, hati akan mati. Fardu Kifayah pula diumpama sebagai ubat, bukan selalu makan, kerana pada waktu tertentu sahaja kita makan.
 بمنزلة الطامMakanan - fardu ain
 بمنزلة الدواءUbat - fardu kifayah
 بمنزلة المرضRacun - Ilmu Nujum

Hukum mempelajari ilmu ahli nujum haram, kerana ilmu itu akan mudarat dan tidak memeberi manfaat. Melarikan diri daripada Qada’ dan Qadar adalah tidak mungkin. Hendaklah dia sentiasa berdoa memohon kemaafan agar Allah memeliharanya.

*Maksud ilmu nujum yang digalakkan adalah ilmu falak, untuk mengetahui arah kiblat. Bala yang paling besar dalam kehidupan adalah orang yang menyalahkan takdir All S.W.T
Hukum mempelajari ilmu kedoktoran adalah harus seperti dengan keperluan hidupan yang lain. Nabi S.A.W pernah merawat dan berubat diri dari kesakitan. Pernah disebut bahawa Imam As Syafie rahimahullah, Ilmu terbahagi kepada 2 bahagian, 1) Ilmu fiqh untuk keperluan agama dan 2) Ilmu kedoktoran untuk keperluan badan.

Imam Syafie

العلم علمنه: علم الفقه للأديان، وعلم الطب للأبدان، وما وراء ذلك بُلُغة مجلس

Seterusnya, mempelajari ilmu-ilmu selanjutya. Selain daripada ilmu fardu ain dan fardu kifayah, maka hanyalah perhiasan majlis sahaja

Hakikat Ilmu pengetahuan

Ilmu ditafsirkan sebagai suatu sifat yang menyebabkan orang yang memilikinya dapat menyingkap dan memahami perkara yang disebut dan fiqh itu mengetahui perincian sesuatu ilmu. Imam Abu Hanifah Rahimahullah Taala berkata “fiqh itu adalah mengetahui tentang diri, tentang perkara positif baginya dan tentang perkara negatif terhadapnya”. Beliau juga pernah berkata, “Ilmu itu tidak dipelajari melainkan untuk beramal dengannya dan beramal dengan ilmu bererti meninggalkan dunia yang sementara untuk akhirat yang mendatang”. Oleh itu, seseorang insan itu tidak sepatutnya lalai tentang dirinya, tentang apa yang akan memanfaatkan dirinya dan apa yang akan memudaratkannya samada di dunia mahupun akhirat. Justeru, dia akan mengutip apa yang akan memanfaatkan dan menjauhkan diri dari perkara yang memudaratkan agar akal dan ilmunya tidak bangun berhujah menentangnya di hari kiamat nanti. Maka akibatnya dia akan bertambah terseksa. Kita mohon perlindungan dengan Allah dari kemurkaan dan azabNya. Terdapat banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis sahih dan masyhur yang menyebut tentang ilmu pengetahuan dan kelebihannya namun kami tidak dapat menyebutnya di sini kerana tidak ingin menjadikan kitab ini terlalu panjang.

*Himmah manusia(para penuntut ilmu) makin lama makin kurang, zaman sekarang tidak mahu membaca panjang-panjang. Hakikat ilmu yang sebenar adalah amal. Jika seseorang hanya mahu mengumpul ilmu semata-mata, tidak mahu beramal, Kata Imam Al Ghazali, “Ia umpama seorang yang berani yang ada pedang yang banyak, tiba-tiba keluar seekor singa dalam hutan sewaktu dia bawa pedang dan senjata yang banyak .” Ini merupakan gambaran kepada orang yang beramal dengan ilmu, yang menggunakan pedang dan pandai guna pedang tersebut, itulah yang dipanggil ‘alim.

Tamat fasal 1.

Comments

Popular posts from this blog

PERANAN IBU BAPA DAN ANAK MENURUT ISLAM

SEJARAH RINGKAS AISYA HUMAIRA

Dr. Ayman al-Akiti