SIRAH IMMERSION :RABIULAKHIR

 [PERSATUAN MAHASISWA HADHARI 21/22]

[EXCO PENERANGAN DAN INFORMASI]

[SIRAH IMMERSION]

 

18 RABIULAKHIR 1443H | 23 NOVEMBER 2021



1. PENGUSIRAN BANI NADHIR

Bani Nadhir merupakan salah satu kabilah terbesar dari bangsa Yahudi yang tinggal berjiran dengan bangsa Arab (‘Aus dan Khazraj) di Madinah. Setelah kedatangan Rasulullah saw, mereka memeterai perjanjian dengan orang Islam sebagaimana yang terdapat dalam perjanjian keamanan dan kerjasama yang disebut Piagam Madinah (Mithaaq al-Madinah). Namun tabiat khianat dalam jiwa Yahudi, mendorong mereka untuk melanggar perjanjian tersebut. Seorang Yahudi, melanggar perjanjian dengan Nabi Muhammad dalam Piagam Madinah. Perjanjian tersebut menyatakan bahawa semua yang menandatangani piagam tersebut akan mempertahankan kota Madinah jika diserang oleh orang luar. Bani Nadhir sebenarnya membuat konspirasi untuk memerangi Nabi. Kesilapan kedua, mereka cuba membunuh Nabi. Nabi yang mengetahui keadaan itu kemudian memutuskan untuk menyekat atau mengusir Bani Nadhir. 

Pengusiran pada bulan Rabiulawal tahun keempat Hijriah. Ramai yang tidak menyangka ia berjaya kerana keadaan, kekuatan, harta, ilmu, dan kelengkapan Bani Nadhir sangat kuat. Sejak zaman Rasulullah saw, kaum Yahudi dikenali sebagai bangsa yang tidak sepakat dalam semua perkara sekalipun ia melibatkan maruah bangsa dan kepercayaannya sendiri. Walaupun kabilah Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Quraizah sama-sama tinggal di Madinah, masing-masing membawa haluan sendiri. Ketika umat Islam memerangi Bani Qainuqa’ kerana perbuatan mereka mencemari kaum muslimah, Bani Nadhir dan Bani Quraizah tidak menawarkan apa-apa bantuan terhadap saudara se-Yahudi mereka itu. Mereka hanya diam dan lihat Bani Qainuqa’ terusir dari kota Madinah. Begitu juga ketika Bani Nadhir menghadapi kepungan tentera Islam, Bani Quraizah masih tidak memberikan apa jua bantuan dan mereka hanya diam dan lihat

Malangnya di zaman ini, perangai diam dan lihat Yahudi ini menjangkiti umat Islam. Mereka membiarkan saudara-saudara mereka diasak oleh musuh, mereka tidak mempedulikan saudara-saudaranya yang dihina, dicaci bahkan dibunuh. Mereka tidak sepakat dalam hukum-hakam agama, mereka suka memencilkan diri dari ayat-ayat Allah dan sanggup bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan lain untuk mengaburi kebenarannya. 

Sabda baginda saw;

لَتَتَّبِعُنَّ سُنَنَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ، فَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حَتَّى لَوْ دَخَلُوا جُحْرَ ضَبٍّ لَدَخَلْتُمُوهُ، قَالُوا : مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى؟ قَالَ : فَمَنْ إِلا هُمْ

 

“Sungguh kalian (umat Islam) akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sekalipun jika orang-orang yang kalian ikuti itu masuk ke lubang biawak (yang sempit), pasti kalian akan mengikutinya.”

Kami (para sahabat) berkata, “Wahai Rasul Allah, apakah yang dimaksudkan itu kaum Yahudi dan Nasrani?”

Baginda saw menjawab, “Lantas siapa lagi selain mereka?”



                Hadis ini meramalkan apa yang akan berlaku kepada umat Islam di akhir zaman. Mereka akan mengikut jejak langkah Yahudi dan Nasrani sedikit demi sedikit sehingga ke lubang biawak pun mereka akan mengikut kedua-dua golongan ini. Menurut Imam Nawawi (شبرا وذراعا) dan (حجر ضب) merupakan tamsil atau perumpamaan (analogy) menunjukkan permuafakatan yang amat rapat dengan idea-idea,  cara-cara atau pemikiran mereka [Syarh Sahih Muslim li Al-Nawawi (166/16)]. Ertinya mereka bersetuju dengan maksiat dan perselisihan tetapi bukan bersetuju dengan kekufuran Yahudi dan Nasrani. Menurut Imam Nawawi lagi hadis merupakan mukjizat Nabi SAW kerana apa yang dikhabarkan oleh Baginda SAW semuanya menjadi kenyataan sekarang. Umat Islam akan mengikut jejak langkah Yahudi dan Nasrani dalam segenap segi kehidupan mereka sama ada dari segi politik, ekonomi, sosial atau akhlak. Bahkan umat Islam akan bersetuju, berlapang dada atau suka dengan apa-apa yang disuarakan oleh Yahudi dan Nasrani dalam kehidupan mereka sekali pun dalam menangani masalah umat Islam sendiri.

 

2. PENGUTUSAN KHALID AL WALID KE BANI AL HARITS

Rasulullah mengirim utusan-utusan baginda untuk mengajarkan prinsip prinsip islam, mengatur masalah-masalah pentadbiran dan harta. Para utusan dari berbagai kabilah Arab datang ke Madinah untuk memberitahu mereka telah memeluk Islam dan bersedia bersatu di bawah kepimpinan Baginda serta mempelajari Islam di Madinah sebelum mereka pulang ke kampung halaman. Namun begitu, bani al Harits bin Ka'ab enggan masuk Islam. Maka, Rasulullah menghantar Khalid bin Walid bersama pasukan dakwah dan jihadnya menuju ke Najran pada Rabiul Akhir tahun ke-10 Hijrah.

                Rasulullah SAW yang memanggil Khalid al-Walid pulang dan melantik Amr bin Hazam untuk mengajar agama kepada Bani al-Harits bin Kaab. Khalid bin Walid diutuskan untuk menyeru dan menyampaikan dakwah Islamiah kepada bani al Harits memeluk Islam dan mengesakan Allah. Baginda meminta Khalid bin Walid untuk memerangi mereka jika mereka enggan untuk memeluk Islam selepas 3 kali seruan. Khalid al Walid amat bijak menyusun strategi dan mengarahkan pasukan berkudanya untuk berada di setiap penjuru kota Najran dan berdakwah kepada mereka. Akhirnya, bani al Harits bersetuju memeluk Islam.

 

3. PERANG DZAT AL RIQA

                Selepas peperangan keturunan Nadhir, berlaku satu lagi peperangan iaitu peperangan yang diberi nama Perang Dzat Al Riqa. Dinamakan Zat al-Riqa' kerana tentera Islam yang berjalan kaki terlalu jauh sehingga koyak kasut mereka dan sampai luka-luka kaki mereka. Akhirnya mereka terpaksa membalut kaki dengan kain sebagai ganti kasut.  Peperangan ini berlaku pada bulan Jamadilawal pada tahun keempat Hijrah. Ini berlaku kerana suku Ghafatan bersiap sekali lagi untuk menyerang Madinah . Pengkhianatan ini mengakibatkan terbunuhnya 70 da‘i yang keluar untuk menyeru ke jalan Allah swt. Rasulullah s.a.w sendiri bersiap memimpin tentera Islam menuju ke suku Ghafatan sebelum mereka bergerak ke Madinah.



Apabila tentera Islam tiba di Ghafatan, rupa-rupanya Ghafatan sudah bersedia dengan bilangan tentera yang berlipat kali ganda daripa jumlah tentera Islam. Apabila kedua-dua pasukan tentera bertemu, masing-masing menunggu siapa yang mahu memulakan peperangan. Walaupun bilangan mereka besar, namun mereka takut dengan keberanian dan kehandalan tentera Islam. Oleh itu, mereka tidak berani memulakannya. Allah mencampakkan rasa gerun ke dalam hati mereka walaupun pada mulanya mereka yang mahu menyerang Madinah. Berhari-hari lamanya kedua-dua tentera berhadapan, namun Ghafatan tidak berani memulakan peperangan.

Akhirnya, mereka terfikir menyerang orang Islam semasa orang Islam sedang sembahyang. Mereka bersiap menyerang pada waktu sembahyang yang terdekat selepas itu. Pada masa itu, Allah turunkan cara sembahyang khauf iaitu sembahyang semasa perang. Tentera Islam sembahyang bersama Rasulullah dan sebahagiannya lagi mengawasi kawasan. Apabila kumpulan pertama selesai sembahyang, mereka pula mengawal dan kumpulan yang mengawal tadi pula sembahyang.

Melihat keadaan itu, terbatal niat tentera Ghafatan untuk menyerang tentera Islam semasa mereka sembahyang. Mereka melihat tentera Islam sembahyang dengan senjata dan dikawal. Melihat apa yang berlaku, tentera Ghafatan bertambah gerun dan membuat keputusan untuk berundur meninggalkan tempat kediaman ke bukit. Rasulullah dan tentera Islam terus menawan kediaman dan pulang ke Madinah selepas beberapa hari disitu. Disamping itu, dalam tempoh ini juga Rasulullah terus mendidk para sahabat kerana bagi beliau, yang lebih penting lagi adalah membina insan, iman dan takwa dalam peribadi setiap sahabat beliau. Pada malam itu giliran Ammar bin Yasir dan Abbad bin Bisyr berjaga malam dan mengawal tentera Islam. Sampai suatu masa, Ammar tertidur dan Abbad sedang sembahyang malam. Lelaki Ghafatan tadi telah memanah Abbad yang sedang khusyuk sembahyang. Anak panah itu terkena bahu Abbad memanah Abbad yang sedang khusyuk sembahyang sebanyak tiga kali hingga Abbad berhenti dari solatnya untuk memaklumkan Ammar kerana bimbang akan keselamatan tentera Islam dan Rasulullah.

                Pengajarannya disini ialah kita haruslah sentiasa bersedia mental dan fizikal untuk mempertahankan Islam. Seterusnya, kita wajib untuk meletakkan sepenuh pergantungan hanya kepada Allah. Ini jelas kerana tentera Islam masih bangun untuk menunaikan solat walaupun dalam keadaan berjaga-jaga dari serangan musuh. Akhir sekali, umat Islam kini mestilah bijak merancang strategi sebelum melakukan sesuatu. Contohnya, rasulullah membahagikan tentera islam kepada beberapa kumpulan. Sebahagian dari mereka ditugaskan untuk kekal di Kota Madinah bagi menjaga Madinah dan sebahagiannya lagi dibawa berperang menentang musuh Islam.



4. PERANG AL-GHABAH

          Peperangan Al Ghabah atau dikenali dengan nama lainya iaitu  perang Dzi Qarad di bawah pimpinan Nabi bagi memburu rumpun dari Bani Fazarah iaitu ‘Uyainah bin Hisn dan 40 orang pembantunya yang telah menyerang dan merampas binatang ternakan penduduk pinggir kota Madinah. Tentera Islam dapat mengejar mereka dan membunuh 4 orang daripada mereka manakala yang lain dapat melarikan diri dan meninggalkan binatang ternakan yang telah dirampas tadi.

Peperangan Al-Ghabah ini merupakan peperangan pertama yang disertai Rasulullah S.A.W setelah termeterainya perjanjian Hudaibiyah dan menurut Imam Al-Bukhari, peperangan ini terjadi tiga hari sebelum berlakunya perisitiwa Khaibar. Menurut riwayat Salamah Bin Al-Akwa’ peristiwa ini bermula apabila Rabah, pembantu Rasulullah S.A.W yang telah diutuskan untuk membawa unta-unta ke tempat pengembalaan unta-unta yang sedang diperah susunya. Salamah Bin Al-Akwa’ ketika itu turut menyertai Rabah dengan menunggang kuda Abu Thalhah.

                Apabila menjelang waktu paginya, Abdurrahman al-Fazari atau dikenali juga sebagai ‘Uyainah bin Hisn dan 40 orang pembantunya telah menyerang dan merampas binatang ternakan penduduk pinggir kota Madinah. Dia juga telah membunuh seorang pengembala unta di kawasan itu dan menculik isteri kepada pengembala itu. Ketika itu, budak  Abdurrahman bin Auf mendatangi Salamah bin Al-Akwa’ dan mengatakan unta-unta Rasulullah telah dirompak oleh orang-orang Bani Ghatafan. Kemudianya, Salamah Bin Al-Akwa’ meminta bantuan Rabah untuk melaporkan kepada Rasulullah berkenaan hal tersebut. 

              Sementara itu, Salamah Bin Al-Akwa’ terus berperang sendirian dan menyerang mereka dengan anak panah sambil melantunkan syair “Aku putera Al-Akwa’, hari ini hari kebinasaan.” ‘Uyainah bin Hisn dan 40 orang pembantunya terus dikejar Salamah sehingga mereka terpaksa meninggalkan 30 mantel dan 30 tombak kepunyaan mereka serta unta-unta yang dicuri untuk memudahkan mereka bergerak. Setibanya mereka di sebuah celah bukit, pasukan berkuda yang telah dihantar Rasulullah tiba di tempat itu. Orang yang paling hadapan adalah Akhram lalu diusul oleh Abu Qatadah dan Miqdad Bin Aswad. Akhram berlawan dengan Uyainah namun tewan dan akhirnya Uyainah telah tewas di tangan Abu Qatadah. 

               Pengikut-pengikut Uyainah yang lainya melarikan diri apabila melihatnya tewas. Mereka berlari sehingga tiba di lembah mata air yang bernama Dzu Qarad sebelum terbenamnya matahari. Mereka yang kehausan itu ingin minum air di situ namun dihalang Salamah dengan keras sehinggalah Rasulullah bertemu dengan Salamah dan bersabda, ‘ Hai Ibnu Al-Akwa’ engkau orang yang hebat dan cukuplah apa yang telah kau lakukan itu’. Sesungguhnya mereka sedang dijamu di perkampungan Ghatafan’. Baginda menyerahkan urusan itu kepada Madinah iaitu Ibnu Ummi Maktum dan panji perang kepada al-Miqdad bin Amr lalu pulang ke Madinah.

               Isteri kepada pengembala  yang ditawan sebelum ini sempat melarikan diri dengan cara menunggang unta milik Rasulullah, malah sempat bernazar jika Allah selamatkan dia maka dia akan menyembelih unta itu. Ketika ketemu dengan Rasulullah, isteri kepada Dzar memberitahu tentang nazarnya, maka jawab Rasulullah, “Buruk sekali balasanmu untuk unta ini.” Maksudnya, unta itu telah menyelamatkan wanita itu daripada musuh kemudian sebagai balasan ingin disembelih pula.Kemudian, Baginda juga bersabda: “Jangan bernazar dalam kemaksiatan dan untuk sesuatu yang tidak engkau miliki.”

         Kesimpulanya, antara pengajaran yang dapat kita perolehi dari peristiwa ini adalah setiap perkara haruslah dilaksanakan dengan semangat yang tinggi agar kita tidak akan mudah untuk putus asa. Selain itu, kita haruslah berikan balasan yang baik kepada orang yang berbudi walaupunya ianya hanyalah seekor binatang. Akhir sekali, kita seharusnya mendapatkan sesuatu perkara atas usaha sendiri dan bukanya mengambil hak milik orang lain. 

 

5. PERANG AL-GHAMR

              Pada bulan Rabiul Awal, 6 H Rasulullah S.A.W telah mengutus Ukkashah bin Mihsan disertai 40 orang tentera Islam ke wilayah Ghamar . Tujuan utama Rasulullah S.A.W menghantar pasukan ini adalah untuk menyerang kabilah Bani Asad namun tibanya mereka di sana, perkampungan itu sudah tidak berpenghuni. Sebaik sahaja pihak musuh mengetahui kedatangan Ukkashah bin Mihsan serta tentera Islam yang lain mereka sudah pun melarikan diri dari tempat itu.

                   Ghamar ini merupakan suatu kawasan sumber mata air yang ada di Mekah. Kawasan ini terletak di oasis. Apabila pihak musuh mengundurkan diri, pasukan tentera Ukkasyah pun dapat menakluki sumber air serta 200 ekor unta dan beberapa binatang ternakan tanpa sebarang perlawanan.          Lantas, beliau bawa ke Madinah untuk diserahkan kepada Rasulullah.

                   Kesimpulanya, dari sini kita dapat lihat bahawa betapa hebatnya tentera Islam ketika itu sehingga pihak musuh lari apabila mendengar khabar kedatangan tentera Islam. Selain itu, melalui peristiwa ini, kita dapat lihat stratergi Rasulullah S.A.W yang melantik Ukkashah bin Mihsan sebagai komandan perang iaitu antara orang hebat yang bersama Rasulullah S.A.W dalam peperangan Badar yang berjaya mememerangi kafir Quraisy dengan ranting kayu yang berubah menjadi pedang dengan izin Allah S.W.T. Pedang yang panjang yang dibuat dari besi berwarna putih iaitu Al-Aun ini telah berjaya mengalahkan orang-orang kafir di medan perang. Maka pengajaran yang dapat kita perolehi dari sini ialah setiap suatu perkara mestilah dirancang dan dibuat persediaan yang rapi sebelum melaksanakanya. Akhir sekali, peristiwa ini juga mengajar kita supaya sentiasa bertakwa dengan Allah S.W.T dan bersyukur terhadap-Nya atas rezeki yang diperolehi serta urusan yang telah dipermudahkan-Nya kerana sesungguhnya hanya Allah S.W.T yang berhak ke atas hambanya.

 

Disediakan oleh:

[NUR AQILAH BINTI ISMAIL & NORALIA AMALINA BINTI NORDIN]

SEKRETARIAT,

EXCO PENERANGAN DAN INFORMASI 21/22

PERSATUAN MAHASISWA HADHARI (PMH)



Sumber:

Comments

Popular posts from this blog

PERANAN IBU BAPA DAN ANAK MENURUT ISLAM

SEJARAH RINGKAS AISYA HUMAIRA

Dr. Ayman al-Akiti