AS MEMILIH: TRUMP VS BIDEN

[PERSATUAN MAHASISWA HADHARI 20/21]
[EXCO PENERANGAN DAN INFORMASI]
[ISU SEMASA]
 
29 Rabiulawal 1442H | 15 November 2020

 

[ AS MEMILIH: TRUMP VS BIDEN ]

Baru-baru ini, seluruh dunia telah hangat dihebohkan mengenai keputusan pilihan raya Amerika Syarikat (AS) kali ke-46 yang melibatkan dua calon dari dua parti yang berlainan iaitu Joe Biden dari parti Demokran dan Donald Trump dari parti Republikan. Pilihan raya yang agak kontroversi tersebut telah memperlihatkan persaingan yang sengit dari kedua-dua parti tersebut apabila seramai lebih 97 juta rakyat Amerika telah pun mengundi awal untuk menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih calon presiden mereka. Menurut dari sumber Bernama (2020), seramai lebih 35 juta pengundi telah dirangkumkan dalam undian awal dan terdapat sebanyak 62 juta undi pos telah dikembalikan, dan angka tersebut telah mewakilkan sebanyak 71 peratus daripada jumlah undi dalam pilihan raya 2016. Hal ini menunjukkan bahawa jumlah pengundi pada tahun 2020 adalah jumlah tertinggi pada tempoh seabad bagi pilihan raya tersebut.

Hasil daripada pilihan raya tersebut, keputusan telah menunjukkan kemenangan berpihak kepada Joe Biden dengan memperoleh undian sebanyak 284 undi elektoral, manakala pencabarnya iaitu Donald Trump hanya mendapat undian sebanyak 214 undi elektoral. Menurut satu laporan asing, Biden telah pun memenangi kerusi terakhirnya di Pensylvania yang memperoleh undian sebanyak 20 undi elektoral lantas mewajarkannya memenangi kerusi presiden tersebut. Kejayaan pemimpin tersebut telah melumpuhkan hasrat pencabarnya, Trump untuk memegang jawatan presiden tersebut bagi penggal kedua.

Sumber daripada laman ‘KFF Health Tracking Polls’ menunjukkan kajian bahawa hampir 34% daripada penduduk Amerika Syarikat ingin berpihak kepada parti Demokran.

 

SIAPAKAH JOE BIDEN?

Siapakah susuk sebenar Joe Biden ini? Joe Biden atau nama sebenarnya Joseph Robinette Biden Jr. ini yang kini telah pun berumur 77 tahun, dilahirkan pada tanggal 20 November 1942 di Scranton, Pensylvania, Amerika Syarikat. Sebelum melibatkan diri di dalam kancah politik, beliau merupakan seorang peguam. Pada tahun 1968, setelah menamatkan pengajiannya dalam jurusan undang-undang, beliau berpindah ke Wilmington, Delaware untuk bekerja di sebuah firma guaman dan seterusnya mengaktifkan dirinya sebagai ahli aktif parti Demokran. Pada tahun 1971, beliau membuka firma guamannya sendiri setelah berjaya menjawat jawatan sebagai anggota Dewan Newcastle Country dan disitulah bermulanya titik permulaannya dalam kancah politik. Diawal usianya yang baru menginjak 29 tahun, beliau mencalonkan dirinya sebagai senat Amerika Syarikat dan akhirnya  berjaya menempatkan diri beliau dalam jawatan tersebut sekaligus menjadikannya senator AS termuda kelima dalam sejarah. Beliau juga merupakan senator terlama di Delaware.

Pada tahun 1987, beliau memutuskan untuk mencalonkan dirinya sebagai presiden Amerika Syarikat namun disebabkan beberapa isu yang menimpa dirinya dan masalah kesihatan yang dialaminya, pada tahun 1988 beliau memutuskan untuk keluar dari pencalonan tersebut. Pada tahun 2007, beliau kembali mencalonkan dirinya sebagai calon presiden Amerika Syarikat  namun disebabkan sokongan terhadapnya kurang berbanding lawannya yang didominasi oleh Hillary Clinton dan Barack Obama, beliau mengundurkan dirinya dari pencalonan tersebut setelah mendapat kurang satu suara di kerusi penting di Iowa. Walaubagaimanapun, tuah masih berpihak kepadanya apabila lawannya iaitu Barack Obama memutuskan untuk memilihnya sebagai calon wakil presiden dan pada tanggal 20 November 2009, beliau berjaya menempatkan diri sebagai wakil presiden ke-47 bergandingan bersama Obama yang ketika itu berjaya menempatkan diri sebagai presiden Amerika Syarikat ke-44. Kini, pada tahun 2020, beliau kembali mencalonkan dirinya sebagai calon presiden Amerika Syarikat dari Parti Demokran dengan menggandingkan Kamala Harris sebagai calon wakil presidennya.

 

PERLUKAH RAKYAT MENGUNDI?

Rentetan daripada pilihanraya Amerika Syarikat, kita dapat lihat bagaimana pentingnya pemilihan pemimpin dalam mengetuai pentadbiran negara. Menjadi tanggungjawab rakyat sesebuah negara melaksanakan hak mengundi untuk memilih barisan kepimpinan sesebuah negara bagi menentukan masa depan mereka. Sebagai contoh di Malaysia, mengundi perlu dilakukan untuk memilih barisan wakil rakyat bagi mewakilkan suara mereka di Dewan Rakyat. Melalui pengundian juga, hak asasi rakyat   untuk memilih pemimpin mereka turut terpelihara tanpa didorongi oleh mana-mana kuasa yang mungkin akan melihatkan ketidakadilan pada sesebuah tampuk pentadbiran. Selain itu, rakyat juga dapat mengaktifkan diri sebagai warganegara dalam politik dan kehidupan sivik mereka dan rakyat turut dapat menilai prestasi pemimpin yang diundi itu dengan amanah yang diberikan sama ada terlaksana ataupun sebaliknya.

Namun begitu, pengundian yang dilakukan juga akan memperlihatkan beberapa kesan yang mungkin akan memberikan impak yang buruk kepada kerajaan mahupun rakyat. Salah satunya apabila pengundian yang dilakukan akan menghasilkan keputusan yang salah dengan memilih pemimpin yang pada asalnya hanya menaburkan janji-janji dan harapan palsu kepada pengundi. Hal ini akan memberikan nasib buruk kepada negara dan nasib rakyat turut akan menjadi tidak terbela. Lantaran itu, kita seharusnya perlu bijak memilih pemimpin supaya perkara-perkara buruk sebegini tidak akan berlaku. Perkara ini dapat dikaitkan dengan satu hadis daripada Sahih Muslim, daripada Abu Dzar, beliau berkata: 

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ أَلاَ تَسْتَعْمِلُنِي قَالَ: فَضَرَبَ بِيَدِهِ عَلَى مَنْكِبِي ثُمَّ قَالَ :

يَا أَبَا ذَرٍّ إِنَّكَ ضَعِيفٌ وَإِنَّهَا أَمَانَةُ وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ إِلاَّ مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيهَا.

Maksudnya:

Dari Abu Dzar berkata, saya berkata: Wahai Rasulullah, tidakkah anda menjadikanku sebagai pegawai (pejabat)? Abu Dzar berkata: Kemudian beliau menepuk bahuku dengan tangan beliau seraya bersabda:

Wahai Abu Dzar, kamu ini lemah (untuk memegang jabatan) padahal jabatan merupakan amanah. Pada hari kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi siapa yang mengambilnya dengan haq dan melaksanakan tugas dengan benar.

(Sahih Muslim, hadis no. 3404 dan 3405.)

Melalui hadis ini, Rasulullah S.A.W telah mengajar kita untuk berhati-hati memilih pemimpin kerana sesuatu amanah yang dipertanggungjawabkan akan menjadi persoalan di akhirat kelak. Justeru  kita mestilah berhati-hati ketika memilih pemimpin agar amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dan diredhai oleh Allah S.W.T.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, dunia hari ini telah menyaksikan suatu perubahan kuasa yang berlaku di Amerika Syarikat yang mungkin boleh memberi intipati baru kepada kita khususnya sebagai umat Islam di dunia zaman moden ini. Harapannya,dengan penukaran tampuk pimpinan yang baru ini dapat memberikan lebih banyak input-input kebaikan kepada seluruh masyarakat dunia khususnya kepada umat Islam di sana. Diharapkan juga melalui pentadbiran yang baru ini, nasib umat Islam disana akan lebih terbela dan terjamin agar kesejahteraan ummah dapat diperoleh.

 

Sekian,
Wabillahitaufikwalhidayah
WassalamualaikumWarahmatullahi-Wabarakatuh.
 
 
"MEMBINA GENERASI BERILMU & BERAKHLAK MULIA"
 
Disediakan oleh:
 
[NURUL FARHANAH BINTI JUMAT]
 
SEKRETARIAT,
EXCO PENERANGAN DAN INFORMASI 20/21,
PERSATUAN MAHASISWA HADHARI (PMH)
 
#PMHUiTMSA
#PMHBukanUntukOrangBaik2TapiUntukOrangYangNakJadiLebihBaik
#UnitIsuSemasa
#EPI

 



Comments

Popular posts from this blog

PERANAN IBU BAPA DAN ANAK MENURUT ISLAM

SEJARAH RINGKAS AISYA HUMAIRA

Dr. Ayman al-Akiti