COVID-19 TANDA AKHIR ZAMAN

[PERSATUAN MAHASISWA HADHARI 20/21]
[EXCO PENERANGAN DAN INFORMASI]
[ISU SEMASA COVID-19]

22 Rejab 1441H | 17 March 2020


[ COVID-19, TANDA AKHIR ZAMAN]

BERIMAN kepada Allah yang Maha Pencipta lagi Maha Pengatur sesuatu perkara merupakan satu rukun iman yang wajib dipercayai bagi setiap umat Islam. Setiap ujian yang Allah berikan kepada kita adalah untuk menilai sejauh manakah pergantungan kita kepada Allah selain mengajarkan untuk bersedia menempuh ujian akhir zaman sebagaimana yang pesan Rasulullah SAW.

Mutakhir ini, kita dapat melihat bukti kekuasaan Allah dengan tersebarnya koronavirus yang berpunca daripada kejahatan tangan-tangan manusia yang membuat kerosakan di atas muka bumi. Firman Allah di dalam Surah Ar-Rum ayat 41 yang maksudnya:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak mereka merasakan sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Virus korona (Covid-19) telah mula menjejas dunia sejak akhir tahun 2019. Menurut laporan terkini, ramai yang telah dijangkiti di banyak negara dan telah mengorbankan ribuan nyawa. Di Malaysia, Covid-19 ini telah disahkan menular pada tanggal 25 Januari 2020. Sehingga 16 March 2020, rekod yang telah diterima terdapat 553 kes telah disahkan positif Covid -19.

Setiap lapisan masyarakat perlu mengambil kira pertimbangan yang wajar di antara menjaga kesihatan (menolak kemudaratan penularan virus) atau perkara selainnya yang lebih kurang penting dari itu, ia selaras dengan kaedah syarak yang menetapkan bahawa ‘menolak mafsadah (kerosakan) lebih utama daripada mendatangkan maslahat’

Ada sebahagian ulama memasukkan sifat الأمن من مكر الله berasa aman dan selamat dari bencana Allah SWT salah satu dosa besar. Yakni seolah-olahnya bencana Allah takkan terkena kepada dirinya. Sifat ini dikategorikan sebagai dosa besar oleh sebahagian ulama kerana Allah telah mengkategorikan mereka ini dalam kalangan yang rugi. Walaupun mereka mungkin terselamat dari azab di dunia, tetapi hakikat di akhirat mereka termasuk dalam orang yang rugi. Ianya hanya dengan sebab perasaan selamat itu membuktikan jauhnya hati seseorang itu daripada hakikat iman yang sentiasa adanya Khauf (takut) dan Raja’ (mengharap). Allah SWT berfirman:

أَفَأَمِنُوا مَكْرَ اللَّهِ ۚ فَلَا يَأْمَنُ مَكْرَ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْخَاسِرُونَ

Ertinya:
“Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.” (Surah  Al-A’raf :99)

Allah SWT sentiasa menjaga hambanya yang Soleh, itu sama sekali tidak boleh dinafikan. Pun begitu sama sekali orang beriman sifatnya tidak boleh merasa aman dari azab Allah SWT. Dan Allah SWT telah memberitahu dalam al-Quran bahawasanya jika azabnya turun semua akan terkena bukan hanya orang yang zalim.

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Ertinya,
“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.” (Surah Al-Anfal : 25)

Hadis-hadis akhir zaman memberikan isyarat secara tidak langsung bahawa akan tularnya virus-virus yang akan meragut nyawa manusia yang ramai. Antaranya satu hadis sahih yang menyebut salah satu tujuan Nabi Isa A.S. diturunkan oleh Allah nanti ialah untuk membunuh khinzir. Jika dirangkum hadis ini dan hadis-hadis lain yang seumpamanya boleh dirumuskan bahawa:

Zaman turunnya Nabi Isa A.S. adalah kerana manusia mengalami kepupusan disebabkan wabak yang melanda sehingga mengorbankan ramai nyawa manusia.

Punca utama kepada wabak itu ialah Khinzir. Justeru salah satu misi Nabi Isa A.S. ialah membunuh khinzir.

Begitu juga hadis-hadis tentang fitnah Yakjuj wa Makjuj yang akhirnya dimatikan sekali gus oleh Allah S.W.T apabila sejenis ‘ulat’ (Virus) yang terkena pada leher mereka, berjangkit dan mati sekali gus.

Maka wabak ini sebenarnya adalah peringatan jelas oleh Allah S.W.T kepada manusia agar kembali beriman kepada-Nya dan juga menuruti jalan agama-Nya yang sebenar. Ia juga adalah salah satu daripada tanda-tanda hampirnya kiamat sebagaimana yang tercatat dalam banyak hadis-hadis sahih.

Di sebalik tularnya Novel Coronavirus 2019 yang ditakuti akan mengancam umat manusia. Umat Islam sebenarnya harus mengingati kembali apa yang terjadi umat manusia terdahulu yang ingkar kepada ajaran Allah S.W.T. Bagaimana kaum Nabi Luth yang Allah terbalikkan bumi ke atas mereka, bagaimana kaum Nabi Nuh ditimpa banjir besar yang menenggelamkan bumi, semuanya kerana mereka ingkar pada ajaran Allah S.W.T.

Sebelum terlambat, marilah kita memohon keampunan kepada Allah S.W.T serta diberi hidayah dan petunjuk. Tanda-tanda kiamat sebenarnya sudah hampir. Kembalilah kepada ajaran Allah S.W.T, tegakkan hukum-Nya di muka bumi ini dan menggembelingkan kekuatan untuk gemilangkan kembali Islam di muka bumi ini. Jika kita merenung dan bermuhasabah dengan apa yang berlaku maka kita akan mengetahui bahawa setiap yang berlaku adalah disebabkan perbuatan kezaliman kita sendiri.


"MEMBINA GENERASI BERILMU & BERAKHLAK MULIA"

Disediakan oleh:

NURAINA AQILAH BINTI SALEH

TIMBALAN KETUA EXCO,
EXCO PENERANGAN DAN INFORMASI 20/21,
PERSATUAN MAHASISWA HADHARI (PMH)

#PmhUitmSA
#PMHBukanUntukOrangBaik2TapiUntukOrangYangNakJadiLebihBaik
#UnitIsuSemasa
#EPI

Comments

  1. posting yang sangat membantu, ada diselitkan fakta, pengetahuan tentang ayat quran dan hadis, statistik mengenai isu tersebut, kupasan yang mudah difahami. semoga terus maju jaya di kemudian hari untuk terus memberi manfaat kepada orang awam khas nya mahasiswa uitm

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

PERANAN IBU BAPA DAN ANAK MENURUT ISLAM

SEJARAH RINGKAS AISYA HUMAIRA

AS MEMILIH: TRUMP VS BIDEN