SIRAH IMMERSION : JAMADILAKHIR
[PERSATUAN MAHASISWA HADHARI 21/22]
[EXCO PENERANGAN DAN INFORMASI]
[SIRAH IMMERSION]
10 JAMADILAKHIR 1443H | 13 JANUARI 2022
PERANG ZAT AL SALASIL
Pada bulan Jamadil Akhir tahun ke 8 Hijrah, Rasulullah telah
mengutuskan Amru bin al-As ke kabilah Bani Qudhaah setelah menerima khabar
mereka sedang membuat persiapan untuk menyerang Madinah. Bani Qudhaah turut
menyeru kabilah lain dan juga tentera Rom untuk turut serta menyerang Madinah.
Pasukan Amru bin al-As berjumlah 300 orang telah meminta bantuan dari Madinah
kerana jumlah tentera musuh yang terlalu ramai. Pasukan tentera muslim telah dibantu
oleh Abu Ubaidah al-Jarrah yang diutuskan untuk memimpin pasukan yang berjumlah
200 orang tentera.
Pesanan Baginda kepada Abu Ubaidah al-Jarrah iaitu hendaklah
beliau mematuhi segala arahan dan keputusan Amru bin al-As dalam peperangan
ini. Apabila masuk sahaja waktu solat Abu Ubaidah al-Jarrah maju ke hadapan
untuk mengimamkan solat namun ditegur oleh Amru bin al-As dengan berkata
kepadanya, “Wahai Abu Ubaidah, kamu sebagai pasukan bantuan kepada aku maka
akulah yang memimpin solat.”
Selepas solat subuh Amru bin al-As melancarkan serangan ke
Qudhaah. Serangan ini tidak di sangka-sangka oleh tentera musuh menyebabkan
tentera dan penduduk semuanya bertempiaran lari dengan meninggalkan penempatan
dan harta mereka. Seterusnya Amru bin al-As telah mengutuskan Auf bin Malik
kepada Baginda di Madinah membawa berita tentang kemenangan tentera muslimin
dalam peperangan ini. Selepas tiba di Madinah para Sahabat mengadu hal tentang
arahan Amru bin al-As yang agak janggal dalam misi peperangan Zat al-Salasil. Hal
ini kerana Ketika di dalam peperangan Zat al Salasil, Saidina Amru telah
melaksanakan beberapa perkara. Antaranya beliau tidak membenarkan pasukannya
menyalakan api sekalipun mereka dalam kedinginan. Beliau juga telah mengimamkan
solat Subuh dalam keadaan berjunub dan beliau hanya bertayammum. Perkara lain
yang beliau lakukan ialah menghentikan angkatan perang saat telah menang dan
tidak membenarkan mereka mengejar musuh yang lari.
Baginda telah meminta Saidina Amru memberikan penjelasan
mengenai perkara janggal yang dilakukan oleh Saidina Amru.
Saidina Amru kemudian berkata “Ya Rasulallah, aku tidak
menyalakan api sepertimana angkatan musuh menyalakan api kerana apabila kami
menyalakan api, kami akan mendedahkan kepada musuh bilangan angkatan kami yang
sedikit. Saya menghentikan angkatan tentera bagi mengejar musuh kerana saya
bimbang sekiranya mereka lari ke arah bukit, ia merupakan helah dan perangkap
musuh yang telah bersedia di sebalik bukit dan akan menyerang balas akhirnya
ditewaskan. Maka, saya mengambil tindakan yang lebih berhati-hati.”
Mendengarkan jawapan itu, Baginda tersenyum dan mengiyakan bahawa Saidina Amru
seorang yang berhati-hati.
Kemudian, Baginda bertanya mengenai solat subuh yang
diimamkan oleh beliau. Saidina Amru lantas menjawab ‘ketika itu aku berada
dalam keadaan sejuk dan jika aku mandi akan memusnahkan aku'. Lalu baginda pun
menyebutkan ayat ke-29, surah An Nisa' lalu membenarkan tindakan Saidina Amru.
يَٰٓأَيُّهَا
ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ
إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَٰرَةً عَن تَرَاضٖ مِّنكُمۡۚ وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ
أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِيمٗا
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu
makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu,
judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara
suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama
sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu. (An-Nisa': 29)
Dari kisah ini, jelaslah bahawa wala’ dan taat adalah dua
perkataan yang menjadi rukun kepada Jemaah Islam yang melangsungkan perjuangan
menegakkan Islam. Wala’ bermaksud kepatuhan, kasih dan setia dengan ikhlas
kepada perjuangan Islam kerana Allah. Adapun taat pula bererti kepatuhan
mengikut perintah sahaja. Maka ketaatan menjadi sebahagian daripada sifat wala’
yang mesti dikukuhkan dengan kasih dan setia dengan ikhlas yang tidak berbelah
bahagi, bagi mencapai tujuan wala’. Konsep taat dan wala’ ini wajib dihayati
oleh kumpulan Islam dalam semua keadaan, termasuk dalam Muwajahah Silmiyah
(pendekatan damai) melalui amalan demokrasi. Konsep ini juga tempat menguji
kesetiaan ahli kepada Jemaah Islam. Seseorang ahli yang setia tidak akan
meninggalkan jemaah, pada masa menang dan kalah, rebah dan bangun, selagi Islam
menjadi aqidah perjuangan yang tidak dihapuskan.
Rujukan
https://www.caramantap.com/2020/10/peristiwa-peperangan-dzat-as-salasil.html?m=1
https://ikimfm.my/amru-bin-al-asy-bhgn-2/
2. KEWAFATAN SAIDINA ABU BAKAR.
Al-Hafidz Ibnu Kathir berkata: “Abu Bakar As-Siddiq
meninggal pada hari Isnin pada malam hari, ada yang mengatakan bahawa Abu Bakar
meninggal setelah Maghrib pada 22 Jamadil Akhir tahun 13 Hijrah dan dikebumikan
pada malam itu juga setelah beliau mengalami sakit selama 15 hari. Pada waktu
itu Umar menggantikan posisinya sebagai imam kaum Muslimin dalam solat. Ketika
sakit beliau menuliskan wasiatnya agar tampuk pemerintahan kelak diberikan
kepada Umar bin Al-Khattab dan Uthman Ibn Affan telah pun dilantik menjadi juru
tulis wasiat tersebut. Wasiat tersebut kemudian dibaca kepada seluruh kaum
muslimin.
Beliau menjadi Khalifah selama dua tahun tiga bulan, dan
telah meninggal pada usia 63 tahun. Sebelum wafat, beliau telah mewasiatkan
agar seperlima dari hartanya disedekahkan sambil berkata: “Aku akan
menyedekahkan hartaku, sejumlah yang Allah berikan dari harta Fai’ kaum
Muslimin (harta yang diperoleh kaum Muslimin dari musuh dalam peperangan tanpa
melalui peperangan, kerana ditinggal lari oleh pemiliknya).”
Terdapat 2 pendapat tentang punca kewafatan belia. Pertama, disebutkan bahawa asbab beliau jatuh sakit dan wafat ialah beliau dan Al-Harith -seorang doktor yang masyhur- pernah memakan khazirah (sejenis sup) yang dihadiahkan kepada Abu Bakar, maka setelah memakan daging itu berkata Al-Harith: “Angkatlah tangan anda wahai Khalifah Rasulullah, demi Allah sesungguhnya daging ini telah beracun”, maka Abu Bakar segera mengangkat tangannya, sejak itu keduanya selalu merasa sakit hingga akhirnya keduanya wafat satu tahun kemudian. Kedua, ada yang mengatakan bahawa sebab wafatnya beliau kerana mandi pada waktu malam pada musim sejuk yang bersangatan, yang membuat beliau demam lalu meninggal disebabkan itu.
Di antara wasiat beliau kepada Aisyah radhiallahu ‘anha
ialah 'Aku tidak meninggalkan harta untuk kalian kecuali haiwan yang sedang
hamil, serta hamba yang selalu membantu kita untuk membuat pedang kaum
Muslimin, kerana itu jika aku meninggal tolong berikan seluruhnya kepada
Umar.'
Ketika Aisyah menunaikan wasiat itu kepada Umar maka
Umar berkata: “Semoga Allah merahmati Abu Bakar, sesungguhnya dia telah membuat
kesulitan (untuk mengikutinya) bagi orang-orang yang menjadi Khalifah
setelahnya.
Ibnu Sa’ad menyebutkan dengan sanadnya dari Al-Qasim bin
Muhammad bin Abu Bakar, dia berkata: “Abu Bakar dikafankan dalam dua kain, kain
yang berwarna putih, dan satu lagi berwarna lain.” Beliau berpesan:
“Sesungguhnya orang yang masih hidup lebih memerlukan kain dari orang yang
telah mati, kerana kain kafan hanyalah menutup apa-apa yang akan keluar dari
hidung mahupun mulutnya.”
Beliau dimakamkan bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam dalam kamar (Aisyah) dan beliau disolatkan oleh Umar bin Al-Khattab radhiyallahu
anhu. Begitulah perginya sebaik-baik sahabat Rasulullah yang telah menghabiskan
seluruh hidupnya di jalan Allah SWT.
Rujukan: Kitab Al-Bidayah Wan-Nihayah: Masa
Khulafa’ Ar-Rasyidin, m/s 28-30, oleh Al-Hafidz Ibnu Kathir
PERLANTIKAN KHALIFAH KE-2
Pada bulan Jamadil
Akhir, tahun ke-13 Hijrah, Sayyidina Umar Al-Khattab telah dilantik menjadi
khalifah yang ke-2 menggantikan Sayyidina Abu Bakar. Taktala Sayyidina Abu
Bakar jatuh sakit selama 15 hari selepas genap dua tahun pemerintahanya sebagai
khalifah, beliau meminta Sayyidina Umar Al-Khattab sahabatnya, untuk
menggantikan sebagai imam solat.
Sejak
dari itu, kondisi Sayyidina Abu Bakar semakin hari semakin tenat. Saat dirinya
yang semakin lemah, beliau mula khuatir akan keadaan negara itu sekiranya
ketiadaan seorang khalifah untuk memimpin. Sayyidina Abu Bakar segera
mengadakan satu mesyuarat tertutup bersama sahabat-sahabatnya yang lain. Antara
sahabat yang hadir adalah Abdul rahman Bin Auf dan Uthman Bin Affan daripada
kaum Muhajirin dan Asid bin Khudair daripada kaum ansar. Beliau menyatakan
hasratnya untuk menamakan Sayyidina Umar Al-Khattab sebagai penggantinya.
Namun, terdapat tentangan dari sahabat yang lain mengenai keputusan Sayyidina
Abu Bakar. Sebahagian sahabat Nabi yang mendengar bahawa Abdul Rahman (r.a.)dan
Uthman (r.a.) menemui Abu Bakar (r.a.) di tempatnya dan berkata salah seorang
daripada mereka:
“Apa yang akan engkau kata kepada Tuhanmu apabila engkau
ditanya mengenai pelantikan Umar (r.a) selepas engkau, sedangkan engkau tahu
sifat kasarnya?”
Lalu Abu Bakar berkata:
“Dudukkanlah aku. Apakah kamu takutkan aku dengan Allah?
Celakalah sesiapa yang menambah dalam urusan kamu dengan kezaliman. Aku akan
berkata kepada-Nya: “Ya Allah, sesungguhnya aku telah tinggalkan urusan mereka
kepada sebaik-baik makhluk-Mu.”
Maka, pada dasarnya, semua sahabat bersetuju atas
perlantikan ini. Sayyidina Abu Bakar memerintahkan Sayyidina Uthman untuk
menulis nama Sayyidina Umar Al-Khattab sebagai penggantinya di atas satu surat
lalu surat itu di cop.
Setelah itu, Sayyidina Uthman
Bin Affan diperintahkan untuk membawa surat itu kepada orang ramai bersama Umar
Bin Al-Khattab dan Usaid Bin Said Al-Khudri.
Uthman (r.a.) berkata kepada orang ramai:
“Apakah kamu akan berbai’ah kepada sesiapa yang
tertera namanya di dalam kertas ini?” Mereka menjawab: “Ya.” Sebahagian
daripada mereka berkata: “Kami telah tahu.” Ibnu Saad berkata kepada yang
berkata tadi:
“Dia ialah Umar.”
Mereka mengiktirafkan, meredhainya dan berbai’ah kepadanya.
Maka, setelah Sayyidina Abu
Bakar dijemput Ilahi, Sayydina Umar Bin Al-Khattab dilantik menjadi khalifah
ke-2 secara rasminya di Masjid Nabawi.
Rujukan:
https://siasahharokiah.wordpress.com/sejarah-perlantikan-khulafa-al-rasyidin/
https://4caliph.blogspot.com/2009/09/pelantikan-khalifah-umar-al-khattab.html
https://shafiqolbu.wordpress.com/2014/03/31/sejarah-dan-penamaan-bulan-jamadil-akhir/#more-8472
PERANG JAMAL
Perang Jamal
atau dikenali sebagai ‘perang unta’ berlaku pada 11 Jamadil Akhir 36 Hijrah.
Peperangan ini merupakan perang saudara pertama dalam Islam. Perang Jamal
berlaku akibat dari perselisihan faham antara dua pihak iaitu antara Saidina
Ali dan Saidatina Aisyah setelah kewafatan khalifah ketiga Islam iaitu Saidina
Uthman Bin Affan yang telah dibunuh secara kejam oleh puak pemberontak daripada
golongan Sabai’yyah.
Perang ini dinamakan sebagai
perang unta adalah kerana ketika peperangan berlangsung, Saidatina Aisyah hanya
menunggang unta beliau dan tidak menyerang mahupun memerintahkan serangan
kerana sesungguhnya tujuan peperangan ini bukanlah bertujuan untuk membunuh
sesiapa mahupun perebutan kuasa tetapi ianya bertujuan untuk menegakkan
kebenaran atas pembunuhan Saidina Uthman Bin Affan.
Setelah kewafatan Saidina Uthman Bin
Affan, kota Madinah dikatakan berada di dalam keadaan yang huru-hara. Berikutan
hal itu, ahli syura dengan segera mencadangkan supaya Saidina Ali dilantik
menjadi khalifah yang seterusnya bagi meneruskan kepemimpinan namun Saidina Ali
menolak cadangan itu. Walaubagaimanapun, setelah desakan demi desakan dari
orang ramai, maka akhirnya Saidina Ali menerima taklifan tersebut untuk
dilantik sebagai khalifah.
Namun, beban yang harus dipikulnya
amat berat sekali ketika itu. Selain menguruskan pentadbiran negara, beliau
terpaksa mencari jalan penyelesaian untuk membendung fitnah yang semakin
berleluasa setelah kewafatan Saidina Uthman tambahan pula beliau juga
ditugaskan untuk menyelesaikan isu pembunuhan Saidina Uthman Bin Affan. Justeru
itu, Saidina Ali membuat kata putus untuk mengutamakan kestabilan negara dahulu
dan bertindak untuk menghukum pesalah yang terlibat dengan kuasa yang tetap
daripada mengenakan hukuman qisas kepada pembunuh Saidina Uthman tanpa sebarang
autoriti.
Saidatina Aisyah di Mekah dan Muawiyyah Bin Abu Sufyan di Syam menyangkal tindakan Saidina Ali itu. Sejurus itu, Thalhah bin Ubaidillah dan Abu Abdullah Zubair bin Al Awwam meminta izin Saidina Ali menuju ke Mekah untuk membincangkan perancangan mereka untuk menuntut bela atas kematian Khalifah Uthman bersama Saidatina Aisyah setelah berbai’ah kepada kepada Khalifah Ali atas dasar menuntut qisas pembunuh Saidina Uthman. Saidatina Aisyah bersetuju dan beliau bersama Thalhah dan Zubair beserta beribu pasukan bergerak ke Basrah, membina kubu pertahanan dan bersiap sedia menuntut bela atas kematian Saidina Uthman.
Namun, pembunuh-pembunuh Saidina Uthman bertindak dengan licik bagi menyelamatkan diri dari hukuman. Mereka, pada masa yang sama berbai’ah kepada Khalifah Ali dan ini menyukarkan Saidina Ali untuk menghukum mereka. Pada ketika itu, pihak Saidatina Aisyah telah tiba maka Saidina Ali yang tidak mempunyai pilihan ketika itu terus berangkat ke Kuffah, kota yang berdekatan dengan Basrah untuk berunding dengan Saidatina Aisyah dan pihaknya bagi mengelakkan peperangan yang akan menyebabkan pertumpahan darah serta perpecahan umat Islam dari berlaku.
Menurut riwayat, Saidina Ali
telah berunding Zubair Al Awwam sepupunya sendiri, dan Thalhah. Perundingan
dimulakan dengan Zubair Al Awwam, Saidina Ali mengatakan, “Betapa
rindunya aku ketika di sisi Rasulullah, kita mengayunkan pedang yang sama.
Mengapa hari ini pedang kita bermusuhan? Wahai Zubair, ingatkah engkau pada
suatu hari, Rasulullah menggandingkan kita berdua lalu bertanya kepada engkau,
adakah engkau mencintai Ali? Lalu engkau menjawab, bagaimana mungkin aku tidak
mencintai sepupuku sendiri ya Rasulullah. Wahai Zubair, ingatkah engkau lagi
bahawa Rasulullah bersabda, suatu hari nanti engkau akan menzaliminya.” Saidina
Ali menuturkan lagi, “ Adakah hari itu ialah hari ini wahai Zubair? “ . Zubair
lalu menunduk dan menangis, lalu berkata,” Ya, engkau benar. Hari itu ialah
hari ini. Aku telah menzalimimu.” Lalu, selepas perbicaraan itu mereka
bersepakat untuk berdamai.
Seterusnya,
Saidina Ali turut mengundang Thalhah dan beliau terus memalingkan mukanya dan
membacakan surah Al-Ahzab, ayat 53 yang bermaksud
’..apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka
(isteri-isteri nabi) maka mintalah daripada belakang tabir..’ dan ‘.. tidak
boleh (pula) menikahi isteri-isteri nabi selama lamanya (setelah nabi wafat)..’.
Saidina Ali bertanya, “Wahai Thalhah, ingatkah engkau ayat
ini diturunkan tentang siapa?” Thalhah mengatakan, “Tentang aku,” Thalhah
pernah berbicara dengan Saidatina Aisyah iaitu sepupunya tanpa tabir dan hal
ini dicemburui oleh Nabi. Thalhah juga pernah berhasrat ingin menikahi
Saidatina Aisyah setelah Nabi wafat lalu turunlah ayat ini sebagai teguran
kepada Thalhah. Saidina Ali meneruskan dengan berkata, “Mengapa sekarang
setelah Nabi wafat, engkau meninggalkan isteri di rumah, lalu mengajak Aisyah
berperang di sisimu?” Penyataan Saidina Ali menikam hati Thalhah lalu beliau
bersetuju untuk berdamai.
Perdamaian ini
telah membawa amarah kepada golongan yang membunuh Saidina Uthman oleh kerana
peluang untuk mereka dihukum lebih cerah. Maka dengan ini, pada awal pagi,
tidak lama setelah perdamaian termeterai, golongan munafik yang sekitar 200
orang ini tanpa rasa kesal, telah menyerang kedua-dua pasukan, pasukan Saidina
Ali dan pasukan Saidatina Aisyah. Namun serangan ini telah menyebabkan salah
sangka antara kedua pihak. Pihak Aisyah r.a menyangka bahawa pasukan Ali r.a
menipu dan bertindak menyerang ke atas mereka dan sebaliknya juga pada pasukan
Ali. Akibatnya, tercetuslah peperangan Jamal yang melibatkan pasukan Ali,
menantu Rasulullah dan pasukan Aisyah, isteri Nabi.
Peperangan yang tercetus angkara golongan munafik semakin
berkobar-kobar, beratus tombak patah, pedang-pedang berlumuran dengan darah.
Mereka saling menyerang dan galak menghunus senjata. Kaum Saba’iyah berusaha
mencapai unta Aisyah r.a, dan hendak membunuh Ummul Mukminin, akan tetapi
gagal. Saidina Ali bin Abi Thalib, berpendapat perang akan berhenti jika
Saidatina Aisyah dikeluarkan dari medan peperangan. Lalu, demi menyelamatkan
Saidatina Aisyah dari medan perang, kaki unta yang ditunggangi Saidatina
Aisyah dipotong dengan pedang, dan kemudian disembelih, akhirnya unta itu rebah
di atas tanah . Apabila Aisyah r.a dikeluarkan daripada tempat pertempuran,
peperangan menjadi sedikit reda. Tidak lama kemudian peperangan pun berakhir.
Kemenangan berpihak kepada Khalifah Ali. Saidina Ali
mengarahkan pasukannya agar tidak mengejar pasukan lawan yang lari, tidak
membunuh orang yang terluka dan tidak menceroboh rumah-rumah. Saidina Ali bin
Abi Thalib r.a memerintahkan Muhammad bin Abu Bakar dan Amar bin Yasir untuk
mendirikan khemah untuk Saidatina Aisyah. Beliau juga mengumpulkan seluruh
harta rampasan, dan mempersilakan askar-askar untuk mengambil semula harta
mereka. Pihak yang terkorban ialah sekitar 10 ribu, lima ribu daripada pihak
Aisyah dan lima ribu daripada pihak Ali.
Kesimpulanya, tidak dapat disangkal lagi bahawa setiap
perkara yang berlaku, Allah pasti ada menyelitkan mehnah dan ujian.
Peperangan Jamal ini salah satu contohnya ujian Allah dalam hubungan
persaudaraan Islam hanya untuk menguji keimanan dan ketakwaan hamba-Nya.
Sesungguhnya, hasutan golongan munafik tidak akan pernah putus bagi memecahkan
tali persaudaraan dalam umat Islam. Mereka ibarat musuh di dalam selimut dan
merupakan ancaman terbesar kepada umat Islam sehingga hari Kiamat. Oleh
itu, kita haruslah sentiasa berhati-hati dan berteguh hati dalam setiap
urusan agar tidak terperangkap dengan agenda golongan munafik ini. Semoga
segala usaha kita dalam menegakkan dan memperjuangkan agama Islam seperti
perjuangan baginda Nabi Muhammad S.A.W serta para sahabat sebelumnya disaksikan
serta dirahmati Allah S.W.T. Justeru, sanggupkah kita bertumpah darah
demi jalan Allah yang satu?
Rujukan:
http://alazhar.perubatan.org/2017/01/perang-jamal-perang-saudara-pertama-dalam-islam/
Disediakan oleh:
[NUR AQILAH BINTI ISMAIL & NORALIA AMALINA BINTI NORDIN]
SEKRETARIAT,
EXCO PENERANGAN DAN INFORMASI 21/22
PERSATUAN MAHASISWA HADHARI (PMH)
Comments
Post a Comment