ISU SEMASA: NORMALISASI LAWAK DAN JENAKA BERUNSUR LUCAH MENJADI KEBIMBANGAN RAMAI
[PERSATUAN MAHASISWA HADHARI 21/22]
[EXCO PENERANGAN DAN INFORMASI]
[ISU SEMASA]
21 Rabiulawal 1443H | 28 OKTOBER 2021
“Aku bergurau sahaja, orang ramai marah tak bertempat”
“Eh, otak korang
terlalu tulus sangat sampai berlawak pun tak boleh”
“Ini hanya lawak
atau gurauan, janganlah pusing cerita!”
“Kami tidak akan
berdiam diri jika kritikan itu berlebihan”
“Perempuan
terlalu sensitif ,payahlah kalau masih matang”
“Cikgu cuma
berlawak atau cuba analogi sahaja. Mengapa si dia nak terasa”
Apabila mangsa, ahli masyarakat serta ahli
profesional menzahirkan perasaan kecewa serta perlunya dibanteras normalisasi
sedemikian, mereka dicorakkan sebagai golongan kolot atau terlalu sensitif
dengan kandungan matang oleh individu-individu yang melakukan lawak gurauan
berunsurkan seksual dan media kotor. Dalam isu ini hangat diperkatakan,
institusi Islam tidak terkecuali daripada dibantai dek dicoreng seolah-olah
gagal menghalang isu-isu lawak seksual berleluasa dalam masyarakat oleh
pelbagai pihak.
Pertama sekali, Islam tidak pernah
menghalang hiburan dan jenaka dalam kehidupan pengamalnya. Hiburan dan jenaka
adalah fitrah tabiat manusia yang tanpanya kehidupan manusia sememangnya akan
menjadi hambar, sedih atau kurang motivasi untuk hidup menjalankan tanggungjawab
mereka. Namun Islam telah memberikan garis panduan yang jelas untuk pengamal
agamanya dalam berhiburan atau berjenaka;
i. Hendaklah gurauan dan jenaka itu tidak menjatuhkan
maruah seseorang atau melampaui batasan
Hal
ini berdasarkan firman Allah:
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا
خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ
ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ
الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki)
mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang
dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari
kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain,
(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan
janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah
pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang
buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya
menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang)
sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada
perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”
(Surah al-Hujurat ayat
11)
Lawak berunsur seksual sebenarnya telah
melampaui batasan berjenaka berdasarkan syariat Islam dengan menghina atau
menjatuhkan maruah individu lain. Golongan wanita ataupun golongan lelaki
mahupun islam atau bukan Islam yang telah dijadikan subjek lawak berunsurkan
lucah berhak merasakan tersinggung dan mendapat permohonan maaf kerana hak mereka
sebagai seorang insan telah dianiayai oleh pihak-pihak yang mengeluarkan
kata-kata berbaur kotor dan lucah itu. Lawak tidak menghalalkan seseorang
individu mencemarkan kehormatan seseorang pihak lain walaupun ia perbuatan
lisan.
Atas nama sekadar gurauan, lawak atau
hiburan semata-mata, pihak yang menganiayai atau melakukan perbuatan tersebut
bersungguh-sungguh menafikan kezaliman lidah dan bahasa badan yang telah mereka
lakukan kepada ahli masyarakat atau mangsa mereka. Tanpa mereka sedar, mereka
sebenarnya telah membuka pintu zina dengan lidah dan tangan mereka. Mereka juga
alpa bahawa mereka telah tidak bertanggungjawab dengan mengajar ahli masyarakat
yang lebih muda untuk mendekati pintu-pintu zina dengan memperlakukan perbuatan
terkutuk itu melalui media awam seperti televisyen, program institusi
pendidikan serta saluran sosial media yang bukan pribadi.
Firman Allah Taala:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً
وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri
zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang
jahat (yang membawa kerosakan).
(Surah al-Isra’, 17:32)
Berkata Ibn Kathir dalam Tafsir-nya bahawa
Allah melarang para hamba-Nya daripada melakukan zina dan juga perkara yang
membawa dekat kepada zina seperti sebab-sebab dan seruan-seruannya. Rujuk
Tafsir al-Azim (5/72).
Daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah
SAW:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ
مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا العَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا
اللِّسَانِ المَنْطِقُ، والقلب تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ
كُلَّهُ وَيُكَذِّبُهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah
menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan
tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan,
zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan
membenarkan semua itu atau mendustakannya.”
(Hadis riwayat
al-Bukhari dan Muslim.)
Jelaslah maksud “jangan mendekati” dalam al-Quran menunjukkan bahawa semua sarana yang membawa kepada zina seperti pandangan mata, sentuhan dan berkhalwat adalah haram dan dijauhi, walaupun dikira sebagai dosa-dosa kecil. Ingatlah bahawa mendekati zina sahaja sudah berdosa apatah lagi melakukan zina mahupun secara lisan menurut firman Allah SWT.
Lawak, gurauan dan hiburan berunsurkan
lucah dan seksual di peringkat institusi pendidikan, tempat kerja bahkan media
hiburan awam tidaklah harus dinormalisasikan dalam masyarakat Islam kita.
Daripada zina lisan dan mata, perlahan-lahan pastinya zina perbuatan semakin
hari akan terlaksana atau tidak pernah surut. Kita dapat melihat bahawa kesan
buruk lawak dan hiburan berunsurkan lucah dan seksual apabila jenayah seksual
serta institusi keluarga makin berpecah-belah dalam komuniti rakyat Malaysia.
Menurut statistik jenayah seksual ke atas kanak-kanak pada tahun 2020 sehingga
30 Jun 2020 yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah sebanyak
1,721 kes.
“Mengikut pecahan daripada jumlah itu
kesalahan rogol (651 kes), sumbang mahram (106 kes), luar tabii (106 kes),
cabul (344 kes) dan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual
terhadap Kanak-Kanak 2017 (514 kes)”.
Inilah adalah kesan-kesan daripada
normalisasikan lawak dan hiburan berunsurkan lucah dan seksual dalam kalangan
kita. Kita tidak melihat kesannya jika kita hanya berfikir daripada sudut
perspektif sebagai pelaku latau penyokong bahan-bahan tersebut. Namun jika
meletakkan kedudukan kita sebagai mangsa yang teraniayai, pihak-pihak yang
ditindas hak mereka atau ahli keluarga terdekat seperti ibu bapa kepada mangsa,
kita akan sedar bahawa lawak dan hiburan berunsur lucah dan seksual ini perlu
dibanteras sebelum menjadi api dalam sekam yang membinasakan akhlak dan akidah
anak-anak kita.
Kesimpulan:
Lawak dan jenaka tidaklah pernah dilarang
atau dibendung dalam Islam. Islam adalah satu agama yang Syumul’ atau
menyeluruh daripada semua aspek rohani, mentaliti serta fizikal. Namun Islam
senantiasa menggariskan panduan jelas dalam jenaka atau hiburan yang
berlandaskan syariat agama. Islam mengutuk perbuatan berjenaka dan hiburan
berunsurkan lucah dan seksual kerana hal ini memberikan kesan buruk kepada
individu, keluarga, masyarakat serta negara dalam jangka masa panjang. Penulis
menyeru agar semua ahli masyarakat membanteras serta saling bekerjasama
membendung normalisasi lawak dan hiburan berunsur lucah dan seksual dalam
kalangan umat Islam.
"MEMBINA GENERASI BERILMU & BERAKHLAK MULIA"
Disediakan oleh:
[NUR ZULIANA BINTI ZAINAL ALAM]
Sekretariat
Exco Penerangan dan Informasi 2020/21,
PERSATUAN MAHASISWA HADHARI (PMH)
#UnitIsuSemasa
#ExcoPeneranganDanInformasi
#PmhUitmSA
#PersatuanMahasiswaHadhari2122
Rujukan:
https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1696-apakah-maksud-ayat-jangan-dekati-zina
Comments
Post a Comment