PENGHINAAN YANG MASIH BERTERUSAN
[ PENGHINAAN YANG MASIH BERTERUSAN ]
Hari ini kita menyaksikan selawat bergema diseluruh pelusuk dunia. Di
setiap media, surau, masjid bahkan rumah masing-masing, umat Islam tidak
ketinggalan melaungkan selawat menyambut hari kelahiran junjungan besar Baginda
Muhammad SAW.
Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ
يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ
وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Maksudnya:
Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala
penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang
beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan
penghormatan yang sepenuhnya.
(Surah Al-Ahzab: 56)
Umat Islam diseru memperbanyakkan selawat kepada Nabi Muhammad SAW
sebagai bukti kecintaan kepada Baginda. Bukan sahaja berselawat, bahkan sunnah
dan sirah Baginda juga perlu diikuti dan dihayati bersama.
Namun, disaat kita semua meraikan cinta, dunia digemparkan lagi
dengan isu penghinaan Nabi Muhammad SAW. Charlie Hebdo, akhbar mingguan satira
Perancis membangkitkan kemarahan seluruh umat Islam apabila mereka ingin
menerbitkan semula karikatur menghina Nabi Muhammad SAW. Api yang belum
terpadam, ditambahkan lagi dengan kesilapan kerajaan Perancis bila mana Presiden
Perancis, Emmanuel Macron, mempertahankan tindakan seorang guru, Samuel Patty
yang mati dibunuh kerana membawa kartun gambaran Nabi Muhammad SAW ke dalam
kelasnya dengan alasan hak kebebasan bersuara. Sungguh menghina, sebelum
dibunuh, Patty menyuruh mahasiswa muslim yang tidak menyukai pengajarannya agar
keluar dari kelas.
Macron berikrar Perancis tidak akan menyerah kalah dalam isu kartun
berkenaan dan menyatakan guru itu dibunuh 'kerana Islam mahukan masa depan
mereka'.
Sumber: Berita Harian
Beberapa siri protes digerakkan oleh negara-negara Islam sebagai
tindak balas terhadap perbuatan Macron. Di Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana
Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mewakili
kerajaan Malaysia dan umat Islam di negara ini mengambil tindakan dengan
menulis surat kepada Kedutaan Perancis berhubung hal berkenaan.
Menerusi surat itu, Datuk Seri Dr Zulkifli meluahkan rasa kecewa
dan tidak puas hati dengan tindakan akhbar berkenaan.
"Sukar untuk mempercayai dunia moden ini, ada antaranya masih
belum mengetahui mengenai pentingnya hidup bersama dalam keadaan aman dan
damai. Islam juga bukanlah satu agama asing di Perancis,” katanya menerusi
surat yang dihantar kepada Duta Perancis di Malaysia.
Walaubagaimanapun beliau turut menyatakan, sebagai umat Islam,
pihaknya tidak akan membalas dendam dengan cara sama dilakukan oleh akhbar itu
iaitu menghina agama mereka kerana menganggap ia sebagai tidak menghormati
orang lain. Datuk Seri Dr Zulkifli menyerahkan salinan buku al-Shama'il
al-Muhammadiyyah (The Sublime Qualities of the Prophet Muhammad), iaitu buku
biografi kenabian diterjemahkan dalam bahasa Inggeris kepada kedutaan berkenaan
agar pihak di sana mengkaji kehidupan Nabi Muhammad SAW, tingkah laku dan
watak-wataknya yang indah.
"Anda hanya boleh benar-benar mencintai seseorang jika anda
tahu siapa dia. Kita sebagai umat Islam tidak akan membalas dendam kartun yang
provokatif dengan cara sama."Yang terbaik di antara kamu adalah orang yang
tidak menyakiti orang lain dengan lidah dan tangannya.”
Sumber: Berita Harian
Benarlah tindakan Datuk Seri Dr Zulkifli, Allah SWT sangat melarang
umat Islam melakukan penghinaan sebegitu.
Firman Allah SWT:
وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ
مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ كَذَٰلِكَ
زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ
فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Maksudnya:
“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain
dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas
dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan
tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah
tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah
lakukan.”
(Surah Al-An’am: 108)
Maka, apa yang boleh kita lakukan sebagai mengecam tindakan
menghina Nabi SAW adalah dengan bersatu membantah dan memboikot ekonomi dan
sebarang urusniaga dengan pihak yang melakukan penghinaan tersebut. Lihat
sahaja akibat daripada kempen boikot yang digesa oleh Presiden Turki, Recep
Tayyip Erdoğan ketika berucap dalam Program Pembukaan Minggu Maulid Nabi di
Pusat Kongres dan Kebudayaan Nasional Beştepe di Ankara, Perancis mula terasa
bahang akibat keceluparan mereka sendiri sehingga ada dari kalangan menterinya
yang menyeru supaya dihentikan boikot kerana kononnya ia dianjurkan kumpulan
radikal.
Kesimpulannya, serangan dan penghinaan terhadap Islam dan Nabi
Muhammad SAW tidak akan pernah berhenti. Sebagai umat Islam, kita perlulah
terus berusaha menyampaikan dakwah dan menyebarluaskan gambaran sebenar
berkenaan Islam dan keperibadian Nabi Muhammad SAW. Bersempena bulan Rabi’ul
Awwal, bulan kelahiran Baginda SAW, umat Islam mestilah menggandakan usaha
mempelajari sirah Nabi Muhammad SAW, hadis-hadis Baginda serta menjawab
sebarang syubhat (kekeliruan) yang ditimbulkan berkenaan Islam dan
keperibadian Baginda SAW.
Ketahuilah, sebanyak mana dan sehebat mana sekalipun penghinaan dan penentangan terhadap Islam, ia tidak akan sesekali melemahkan Islam. Hal ini kerana janji Allah SWT yang pasti akan meninggikan agamaNya melebihi agama-agama lain.
Sekian.
Disediakan oleh:
[NUR AZIELA BINTI SUHAIMI]
SETIAUSAHA EXCO,
EXCO PENERANGAN DAN INFORMASI 20/21,
PERSATUAN MAHASISWA HADHARI (PMH)
#PMHUiTMSA
#PMHBukanUntukOrangBaik2TapiUntukOrangYangNakJadiLebihBaik
#UnitIsuSemasa
#EPI
Rujukan:
- https://www.hmetro.com.my/global/2020/10/635913/hina-nabi-muhammad-saw-hanya-menggalakkan-keganasan-iran
- https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2020/10/746213/erdogan-beri-kritikan-lebih-pedas-terhadap-macron
- https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/10/746744/malaysia-kecam-charlie-hebdo-mahu-terbit-semula-karikatur-rasullulah
- https://fixindonesia.pikiran-rakyat.com/internasional/pr-36881539/kronologi-saling-serang-antara-prancis-dan-sejumlah-negara-islam-bermula-dari-pembunuhan
Comments
Post a Comment