ARAK! MEROSAK AKAL, MERAGUT NYAWA.


[PERSATUAN MAHASISWA HADHARI 20/21]
[EXCO PENERANGAN DAN INFORMASI]
[ISU SEMASA]

11 Syawal 1441H | 3 Jun 2020


[ARAK! MEROSAK AKAL, MERAGUT NYAWA]
Akhir-akhir ini terlalu banyak kemalangan jalan raya yang berpunca daripada pemandu mabuk. Keadaan ini amat menggusarkan rakyat Malaysia kerana kemalangan yang berpunca daripada pemandu mabuk ini melibatkan pengguna jalan raya yang tidak bersalah. Lihat sahaja berita di kaca televisyen mahupun di akhbar harian, kemalangan dalam kategori ini mengakibatkan kecederaan parah, kerosakan harta benda bahkan juga kematian. Minggu ini sekali lagi dikejutkan dengan berita kemalangan maut seorang penghantar makanan yang dilanggar oleh pemandu dibawah pengaruh alkohol.[1] Pada hari yang sama, juga dilanggar oleh pemandu mabuk yang lain, seorang penunggang motosikal retak tempurung kepala dan cedera di anggota badan.[2] Dalam satu hari, dua nyawa pengguna jalan raya dipersia-siakan. Bahkan suspek yang melanggar mangsa sebolehnya mengaku tidak bersalah di hadapan mahkamah untuk menutup kesilapan mereka.
Di manakah keadilan untuk mangsa-mangsa ini?
Masih ingatkah lagi, petugas barisan hadapan yang maut dilanggar pemandu mabuk. Koperal Safwan Muhammad Ismail yang diarahkan bertugas semasa tempoh PKP. Dikala dunia dilanda wabak COVID-19, beliau bersama-sama para petugas yang lain merisikokan diri melaksanakan tugasan sekatan jalan raya. Namun, kewarasan akal yang hilang dek kerana arak,  sebuah pacuan empat roda merempuh sekatan jalan tersebut dan mengakibatkan petugas itu meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan.[3] Bahkan baru-baru ini juga, seorang pekerja kurier maut dilanggar oleh pemandu mabuk yang merupakan seorang pelajar dari institut pengajian tinggi swasta.[4]  
Keadaan ini menunjukkan pemandu mabuk menyapu rata semua golongan. Jelas sekali, pemandu yang berada bawah pengaruh alkohol lebih berbahaya berbanding pemandu yang bebas daripadanya.

RELEVANKAH HUKUMAN SEDIA ADA?
Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan. Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

Namun, hukuman yang dikenakan ini sepertinya tidak memberi kesan kerana masih ada golongan yang berani melanggar undang-undang. Oleh itu, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Beliau berkata, arahan itu sebagai maklum balas kepada keresahan rakyat mengenai kes kemalangan akibat pemandu mabuk yang mana statistik polis sepanjang lima bulan pertama tahun ini sebanyak 21 kes membabitkan pemandu mabuk dicatatkan yang mana lapan mangsa meninggal dunia.

Katanya, perkara itu sangat membimbangkan kerana jumlah yang direkodkan dalam tempoh lima bulan tahun ini menghampiri keseluruhan 23 kes yang dicatatkan sepanjang tahun lalu.

Perdana Menteri difahamkan pindaan akta berkenaan akan dimuktamadkan pertengahan Jun ini sebelum dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibentangkan pada persidangan akan datang.

Berita Harian [5]
30 Mei 2020
KEDUDUKAN ARAK DALAM ISLAM
Islam melarang sama sekali meminum minuman yang memabukkan sama ada arak, iaitu yang dibuat daripada perahan anggur atau bukan arak, iaitu yang dibuat daripada benda lain.
Ini berdasarkan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: 
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Maidah: 90)
Allah SWT telah mengurniakan nikmat akal kepada manusia untuk membezakan manusia, bahkan memuliakannya berbanding dengan makhluk yang lain. Kestabilan hidup manusia sama ada sebagai individu atau sebagai anggota masyarakat bergantung kepada kesempurnaan dan kekuatan akal.
Disebabkan itu, semua minuman yang memabukkan ditegah kerana merosakkan akal dan menyebabkan manusia kehilangan banyak faedah dan kelebihannya. Jiwa mereka menjadi lemah, dikuasai oleh hawa nafsu, timbul rasa benci-membenci dan persengketaan di kalangan orang Islam, sehingga putus hubungan persaudaraan dan hilang rasa kasih sayang.
Lebih dahsyat lagi, kesan minum arak menghalang manusia mengingati Allah dan menjauhi mereka daripada rahmat, kurniaan dan ihsan-Nya.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ
Maksudnya: 
“Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”
(Surah al-Maidah: 91)
Begitu juga hadith daripada Rasulullah SAW:
اجْتَنِبُوْا الخَمْرَ فَإِنَّهَا مِفْتَاحُ كُلِّ شَرٍّ
Maksudnya: 
“Hendaklah kamu menjauhi arak, sesungguhnya arak kunci segala kejahatan.”
(Hadis Riwayat al-Hakim)
Jelas, arak hanya membawa keburukan bukan sahaja kepada peminumnya, bahkan turut memberi kesan kepada orang sekeliling.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur [6]
25 September 2017
KESIMPULAN
Segala kerosakan yang berpunca dari arak ini pasti dapat dibendung sepenuhnya jika kerajaan memandang serius terhadap penggunaan arak. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar Malaysia menjadi sebuah negara yang bebas arak.
Semoga Allah SWT memelihara Malaysia dari sebarang bentuk kejahilan.

Sekian,
Wabillahi taufik walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi-Wabarakatuh.

"MEMBINA GENERASI BERILMU & BERAKHLAK MULIA"

Disediakan oleh:

[NUR AZIELA BINTI SUHAIMI]

SETIAUSAHA EXCO,
EXCO PENERANGAN DAN INFORMASI 20/21,
PERSATUAN MAHASISWA HADHARI (PMH)

#PMHUitmSA
#PMHBukanUntukOrangBaik2TapiUntukOrangYangNakJadiLebihBaik
#UnitIsuSemasa
#EPI

RUJUKAN
  1.  https://www.sinarharian.com.my/article/85752/EDISI/Selangor-KL/Penghantar-makanan-maut-dirempuh-pemandu-mabuk
  2. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/06/584595/dirempuh-pemandu-mabuk-retak-tempurung-kepala
  3. https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/05/684498/pkp-polis-maut-angkara-pemandu-mabuk-rempuh-sekatan
  4. https://www.sinarharian.com.my/article/85401/BERITA/Tragedi/Pekerja-kurier-maut-dilanggar-pemandu-mabuk
  5. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/05/694479/pm-arah-pinda-akta-hukuman-lebih-berat-pemandu-mabuk
  6. https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/659-bayan-linnas-siri-ke-116-hindari-bahaya-arak




Comments

Popular posts from this blog

PERANAN IBU BAPA DAN ANAK MENURUT ISLAM

SEJARAH RINGKAS AISYA HUMAIRA

Dr. Ayman al-Akiti